Categories
SELANGOR

KUIS – IIIT meterai tujuh MoA perkasa penyelidikan berimpak

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 26 FEB: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memetrai tujuh Perjanjian Pendidikan (MoA) bersama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) dalam usaha membudayakan penyelidikan dan penulisan lebih berimpak.

Rektornya, Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata KUIS komited menjayakan projek itu dengan harapan ia membuka pintu kepada kerjasama lain pada masa akan datang.

Katanya, usaha berterusan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) KUIS itu amat bermakna dalam usaha menyokong hasrat kolej itu menjadi universiti penuh.

Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri“Saya melahirkan rasa bangga kerana KUIS dipilih menjayakan projek penulisan buku teks ini yang juga akan menjadi bahan rujukan kepada semua universiti dan kolej bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

“Diyakini dengan dedikasi golongan ilmuan KUIS dan kerjasama pakar IIIT, projek ini terlaksana dengan jayanya,” katanya.

Majlis MoA kedua-dua pihak ditandatangani Ab Halim bersama Setiausaha Kehormat IIIT, Prof Dr Omar H Kasul di Hotel Concorde, KLIA pada 29 Januari lalu.

Ia disaksikan Pengarah RMC KUIS, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Perwakilan Wilayah Timur dan Asia Tenggara IIIT, Datuk Dr Jamil Osman.

Turut hadir, wakil IIIT Jepun, Korea, China, Hong Kong, Cambodia, Filipina, Thailand, Brunei dan Indonesia serta beberapa Felo Penyelidik Kanannya di sekitar Kuala Lumpur.

Daripada tujuh MoA ditandatangani, enam daripadanya adalah bagi penyelidikan dan penulisan buku.

KUISIa merangkumi Falsafah dan Pemikiran Islam, Falsafah Islam, Pembangunan Potensi Insan, Pengantar Akhlak, Tamadun Islam dan Tamadun Asia serta Teknologi Maklumat Dalam Kehidupan Insan.

Manakala satu lagi adalah Penganjuran Bengkel meliputi tiga bengkel kerjasama KUIS – IIIT bagi pengukuhan usaha enam penyelidikan dan penulisan buku berkenaan.

“Dua daripadanya sudah dilaksanakan iaitu Bengkel Pengenalan Islamisasi pada 27 Julai tahun lalu dan Bengkel Pemahaman Epistemologi Islam (21 Januari lalu) selain Bengkel Penulisan Buku Teks akan dilaksanakan pada Mac ini.

“Keseluruhan dana diperuntukkan untuk projek ini ialah RM140,000 melalui sumbangan bersama KUIS dan IIIT dan ia dijangka siap pada penghujung tahun depan,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.