Categories
SELANGOR

LZS sasar kutip dan agih RM645 juta tahun ini

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mensasarkan kutipan dan agihan zakat bagi 2016 sebanyak RM645 juta dengan mengambil kira faktor kesedaran masyarakat mengeluarkan zakat serta peningkatan jumlah asnaf dan fakir saban tahun.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata beberapa inisiatif akan dilaksanakan sebagai usaha meneraju perubahan bagi menyantuni asnaf dan memudahkan pengeluar zakat.

LZS KUTIP ZAKAT 2015“Zakat menambah dua cawangan di Klang dan Cyberjaya menjadikan jumlah keseluruhannya 28 buah cawangan di Selangor bagi memudahkan urusan pengeluar zakat dibuat.

“Zakat juga dalam usaha membuka Pusat Dialisis Bukit Jelutung dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) sebagai perkhidmatan dan rawatan dialisis kepada golongan asnaf dimana kos rawatan akan ditanggung oleh LZS,” katanya sewaktu sessi sidang media khas yang diadakan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, pagi tadi.

Difahamkan, pusat dialisis itu dijangka mula beroperasi pada April depan.

Katanya, LZS juga membina penempatan baru melibatkan sumbangan wang zakat berjumlah RM10.2 juta bagi 60 keluarga fakir dan miskin di daerah Kuala Krai, Kelantan yang terbabit dengan banjir besar pada penghujung Disember 2014.

“Pembinaan Laman Seri Ehsan bertujuan untuk menyediakan kediaman selesa kepada golongan asnaf yang ditimpa musibah banjir.

“Antara kemudahan asas yang disediakan seperti stesen TNB, tangki air, jaringan jalan raya, enam buah lot perniagaan, dewan serba guna dan sebuah surau yang boleh memuatkan seramai 300 orang jemaah,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.