Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Asnaf fakir miskin dijangka meningkat kepada 72,000, akibat wabak dan tamat moratorium

SHAH ALAM, 5 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka  bilangan asnaf  fakir dan miskin meningkat kepada 72,000 orang pada tahun ini.

Agensi itu menerusi Facebook memberitahu peningkatan 7,000 orang daripada jumlah direkodkan tahun lalu itu susulan penularan pandemik Covid-19 serta penamatan moratorium.

Justeru, LZS menyeru orang ramai untuk bersama membantu dan menyumbang dengan membuat bayaran secara dalam talian bagi memudahkan urusan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata tahun lalu seramai 65,000 asnaf fakir dan miskin direkodkan dan menjangkakan peningkatan pada tahun ini.

Pada Julai tahun lalu LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta menjayakan program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan bagi memanfaatkan hampir 60,000 penerima serta lebih 400 institusi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

22,500 mangsa terima bantuan banjir RM600 zakat Selangor

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 22,500 mangsa banjir negeri ini menerima bantuan RM600 dari Lembaga Zakat Selangor setakat 31 Disember, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan M Yusop berkata bantuan diagih secara berperingkat sejak 28 Disember dengan dikreditkan terus ke akaun bagi meringankan beban mangsa.

“Semua penerima ini dalam kalangan pemohon fasa pertama. Keseluruhannya LZS terima kira-kira 35,000 pemohonan sehingga tarikh tutup pada 31 Disember.

“Bagaimanapun sebanyak 18 peratus permohonan terpaksa ditolak kerana dokumen yang tidak lengkap. Sekarang kita buka untuk fasa kedua hingga hujung bulan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Saipolyazan berkata LZS turut memperuntukkan sejumlah dana sebagai bantuan pasca banjir bagi membantu asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah akibat insiden bah.

Pada 20 Disember beliau mengumumkan sumbangan RM600 kepada setiap ketua keluarga fakir miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di Selangor melibatkan peruntukan zakat RM1 juta.

LZS mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah untuk menyelaraskan bantuan.

LZS turut memperuntuk RM250,000 lagi bagi menyumbang makanan kering dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) daerah terlibat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Zakat Selangor terima anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2021

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dinobatkan sebagai antara penerima anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2021 (edisi Malaysia) anjuran HR Asia dalam satu majlis berprestij baru-baru ini.

LZS adalah antara 43 syarikat yang menerima anugerah itu daripada keseluruhan 270 penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M. Yusop yang menerima anugerah itu berkata ia merupakan pengiktirafan kepada LZS serta institusi zakat di Malaysia secara amnya.

Beliau berkata penganugerahan itu secara tidak langsung membuktikan keupayaan syarikat berkenaan mengurus secara profesional dan bertaraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pengeluar zakat untuk terus menunaikan zakat di Selangor.

“Pengiktirafan ini juga ditujukan khas kepada warga kerja LZS atas kerja keras dan kesungguhan mereka memberikan yang terbaik kepada asnaf dan juga pengeluar zakat terutama dalam waktu pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia itu merupakan program tahunan yang dianjurkan HR Asia bagi mengiktiraf organisasi di benua itu dalam bidang kecemerlangan pengurusan sumber manusia, penjenamaan majikan dan libat urus warga kerja.

Syarikat yang menyertai program itu perlu melalui proses penilaian berdasarkan kaji selidik berteraskan Total Engagement Assessment Model (TEAM) kepada warga kerja yang dipilih secara rawak.

Menurut kenyataan itu, LZS turut membentangkan inisiatif yang diusahakan sebagai sebuah organisasi prihatin kepada masyarakat dan warga kerja ketika tempoh COVID-19 kepada panel penilai, sebelum dipilih sebagai pemenang.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 56,000 individu terkesan Covid-19 terima manfaat zakat Selangor

SHAH ALAM, 18 DIS: Lebih 56,000 individu negeri ini yang terkesan akibat Covid-19 menerima manfaat program Zakat Selangor Peduli (ZSP), kata Mohd Sabirin Mohd Sarbinu.

Ketua divisyen operasi bahagian asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata bantuan sejak Julai merangkumi 19 inisiatif itu melibatkan belanja kira-kira RM60 juta setakat ini.

“Bantuan tidak hanya kepada asnaf sebaliknya orang awam yang terkesan. Antara bantuan adalah pemberian RM500 kepada individu terkesan sebanyak tiga kali dan bayaran sewa rumah.

“LZS turut membantu lebih 200 maahad tahfiz dari segi pembayaran sewa, bil air dan elektrik. Kita turut membantu proses sanitasi surau dan masjid selain bantuan makanan kering kepada pasukan baris hadapan,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Pedulikah Zakat Selangor? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta menjayakan program ZSP yang menyediakan 19 inisiatif bantuan dan memanfaatkan 59,322 penerima serta 431 institusi di Selangor.

Sementara itu beliau berkata LZS akan mengeluarkan buku silibus zakat untuk pelajar sekolah rendah sebagai langkah mendidik generasi akan datang.

“Bagi memudahkan orang ramai membayar zakat, LZS turut memudahkan cara pembayaran termasuk pemotongan akaun secara automatik dan bayaran dalam talian di beberapa platform,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

LZS: Bantuan RM600 bagi keluarga terkesan banjir di Lembah Jaya

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi bantuan sebanyak RM600 kepada setiap keluarga bukan asnaf yang terkesan akibat bencana banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (LZS) Saipolyazan M. Yusop berkata bantuan dalam bentuk pembaikan rumah mengikut nilai kerosakan yang mencecah nilai maksimum RM31,000 juga akan diberikan kepada keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS.

“Setakat hari ini, kami akan memberi bantuan barangan kering kepada 70 rumah di kawasan ini dan kami juga bercadang untuk menghantar kepada 120 rumah lagi.

“Sebanyak 400 rumah terkesan susulan bencana banjir yang berlaku di Lembah Jaya, Ampang pada 22 Nov lepas dan sebanyak 220 rumah telah berdaftar di LZS bakal menerima bantuan sewajarnya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, katanya LZS kini sedang mengumpul data dan maklumat berkaitan mangsa yang terjejas dengan kerjasama pejabat daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terlibat.

“Bagi asnaf berdaftar dengan LZS yang terlibat bencana banjir kilat ini, mereka boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka,” katanya menambah bantuan yang dihulurkan bergantung kepada syarat dan kelayakan penerima.

Hujan lebat lebih tiga jam pada lewat petang itu, mengakibatkan beberapa kawasan di Ampang termasuk Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan dilanda banjir kilat mengakibatkan beberapa rumah digenangi air serta kenderaan mengalami kerosakan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan kewangan, barangan asas ceriakan 200 asnaf di Hulu Langat

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 200 keluarga asnaf daerah Hulu Langat menerima bantuan kewangan serta barangan asas daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan sumbangan kewangan berjumlah RM100,000 diberikan menerusi program wakalah agihan zakat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan setiap asnaf menerima RM500.

“Selain itu, empat keluarga asnaf turut diziarahi yang melibatkan kelulusan bantuan bina dan baik pulih rumah.

“Kegembiraan jelas terpancar dari raut wajah asnaf apabila melihat kediamannya selesa diduduki selepas dibantu oleh Zakat Selangor,” katanya.

LZS mengucapkan terima kasih atas tanggungjawab masyarakat dalam menunaikan ibadah zakat yang mana bantuan dapat sampaikan kepada golongan mustahiq.

Terdahulu, agihan zakat itu disampaikan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun di Balai Raya Kampung Sungai Raya Batu 9 Cheras.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: Dana pendidikan boleh dimohon pelajar IPT mulai esok

SHAH ALAM, 19 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mempelawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memohon Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) yang dibuka mulai esok.

Agensi itu memaklumkan permohonan sumbangan RM700 bagi pelajar dalam negara dan RM2,500 untuk pelajar luar negara itu dibuka selama sebulan sehingga 20 Disember.

“Alhamdulillah, berita baik ini buat semua pelajar IPT dalam dan luar negara untuk memohon dana ini. Dana ini adalah secara ‘one-off’ bagi setiap peringkat pelajaran,” katanya di Facebook, hari ini.

LZS berkata permohonan boleh dibuat menerusi dalam talian di www.zakatselangor.com.my/spzas

Agensi itu juga mengingatkan pemohon membaca syarat terlebih dahulu sebelum mengisi butiran kerana hanya sekali sahaja permohonan dibenarkan.

Antara syarat permohonan individu itu perlu beragama Islam, warganegara Malaysia, ketua keluarga/penjaga lahir di Selangor atau bermastautin dan menetap di negeri ini tidak kurang tiga tahun.

Selain ia dibuka kepada pelajar semester dua dan keatas bagi IPT dalam negara dan bidang pengajian Islam serta perubatan peringkat Sarjana Muda bagi mereka yang belajar di Mesir, Jordan dan Maghribi.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Rezeki jual kudapan bantu rawatan isteri

Pilu hati seorang suami melihat isteri menderita sakit kencing manis. Acap kali dimasukkan ke hospital sehingga berminggu-minggu lamanya.

Tiada siapa boleh menjaga melainkan Nor Haisiam Hashim sendiri. Anak seramai lima orang diuruskan sendiri. Mujur semua matang dan boleh diharap.

Sedikit sebanyak mengurus kerja rumah. Tatkala itu beliaulah bapa dan ibu yang memasak. Ada masanya kehabisan beras, tiada untuk dimakan.

Jika anak-anaknya dapat hidangan nasi lauk telur goreng berkuahkan kicap sudah cukup mewah padanya. Masakan tidak, kos perubatan isterinya menekan belanja rumah.

Pekerjaannya juga hilang gara-gara majikan tidak membenarkan cuti tanpa gaji untuk menjaga isteri.

Namun kasih sayang dan cinta terhadap isteri mengatasi segalanya dan beliau tetap reda dengan ujian menimpa dirinya.

Bapa berumur 51 tahun itu menguatkan semangat demi membaiki kehidupan dengan berniaga kecil-kecilan.

Nor Haisiam Hashim menceritakan pengalamannya terpaksa meninggalkan pekerjaan sebagai pengurus operasi di syarikat keselamatan demi menjaga isteri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau memperkenalkan barang jualan seperti popiah Nestum, popiah sira, acar buah, kuah laksa dan burger rangup.

Melalui perniagaan dijalankan sedikit demi sedikit kehidupan Nor Haisiam sekeluarga semakin bertambah baik. Kini produknya turut dipasarkan melalui agen dan pemborong di beberapa negeri.

Hilang kerja

Dua tahun lalu hidup Nor Haisiam diibaratkan sebagai jatuh ditimpa tangga.

Isteri tercinta Noor Zainida Zainal Abidin, 45, sakit teruk menyebabkan beliau memohon cuti tanpa gaji untuk menjaga dan mengurus keluarga.

Malangnya, permohonan ditolak mentah-mentah dan kerana kecewa dengan majikan, pada September 2019 Nor Haisiam nekad berhenti kerja.

“Tak mengapalah, rezeki ada di mana-mana,” bisik hatinya.

Pada waktu itu berat hatinya meninggalkan pekerjaan sebagai pengurus operasi di syarikat keselamatan. Apalagi itulah satu-satunya sumber pendapatan.

Tanpa menoleh, pada penghujung 2019 beliau dibantu anak kedua, Noor Izzah Fahdillah, 20, berniaga kecil-kecilan menjual popiah nestum dan popiah sira di media sosial.

Kalau sebelum ini kerjanya tidak tentu masa, kini dia dapat lebih banyak masa menjaga isteri di rumah.

Bagaimanapun pendapatan berniaga tidak menentu. Lebih-lebih lagi bagi produk yang belum dikenali. Pada bulan pertama, hendak dapat jualan RM100 pun cukup seksa.

Keadaan itu cukup merisaukan apabila memikirkan perut yang perlu diisi dan belanja pendidikan anak. Empat anaknya masih bersekolah termasuk seorang yang menuntut di Universiti Sains Malaysia.

“Beberapa kali terputus beras. Makan pun bercatu. Kadang-kadang cuma ada nasi, telur dan kicap sahaja. Nak makan ayam memang susah.

“Kalau sepapan telur dapatlah bertahan tiga ke empat hari. Makan siang dan malam semua lauk telur sahaja,” katanya.

Bantuan LZS

Selain itu, beliau turut berhadapan kekangan modal pusingan.

Pernah sekali satu-satunya kereta dimiliki rosak. Maka terpaksa menebalkan muka meminjam dengan rakan.

Malangnya, tidak berapa lama selepas itu, keretanya kembali rosak. Kali ini lebih teruk. Lebih RM2,000 diperlukan. Mujur Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudi membantu membayar sebahagiannya.

Produk jualan Nor Haisiam turut dipasarkan melalui agen dan pemborong di beberapa negeri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

LZS juga membantu perbelanjaan bulanan dan pendidikan anaknya. Dapatlah bernafas sedikit.

Selepas isteri beransur sihat, Nor Haisiam berhasrat mengembangkan lagi perniagaan bagi menambah pendapatan dengan berniaga burger rangup.

Beliau bernasib baik apabila pada tahun ini LZS melalui Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) membantu dengan membiayai pembelian peralatan seperti kuali, peti sejuk beku dan dapur goreng elektrik.

Berbekalkan peralatan dibiayai LZS, Nor Haisiam memulakan perniagaan. Istimewanya, daging burger dibuat sendiri menggunakan daging ayam kisar yang diadun dengan ramuan istimewa.

Melalui jualan di gerai berhampiran rumah dan tempahan dalam talian beliau mampu menjual hampir 100 biji burger sehari. Namun sekatan dikenakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 menyebabkan jualannya jatuh.

Bagaimanapun, beliau masih bernasib baik. Popiah Nestum, popiah sira, acar buah dan kuah laksa pula semakin mendapat sambutan.

Ketika ini beliau sudah mempunyai agen dan pemborong yang memasarkan produknya di beberapa daerah di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.

“Mula-mula memang susah nak jual sebab orang belum kenal produk kita tetapi sekarang boleh dapat jualan lebih RM1,000 seminggu,” katanya ketika ditemui Selangorkini di kediaman beliau di Gombak pada 5 November.

Mengakui masih terkial-kial dalam perniagaan, namun Nor Haisiam lega kerana sekurang-kurangnya beliau mampu mengubah taraf keluarganya lebih baik.

Nor Haisiam berharap suatu hari nanti beliau mampu membantu asnaf lain memperbaiki kehidupan dengan berniaga.

“Saya berharap semoga suatu hari nanti saya pula menjadi pembayar zakat. Saya ingin membantu asnaf lain baiki kehidupan dengan berniaga,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS salur RM1 juta kepada institusi perubatan tangani Covid-19

SHAH ALAM, 20 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan RM1 juta kepada institusi perubatan awam serta petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata RM800,000 daripadanya diperuntukkan kepada 12 hospital bagi membeli katil, tilam, alat bantuan pernafasan, kerusi roda dan tong oksigen.

“Ini sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kami kepada pihak hospital dalam menangani penularan wabak. Setiap hospital menerima sumbangan antara RM30,000 hingga RM100,000 bergantung kepada keperluan.

“Bantuan menggunakan dana pengurusan operasi amil ini merupakan satu daripada 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman di Hospital Serdang.

Agihan sumbangan RM100,000 (Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang,Hospital Ampang); RM90,000 (Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Serdang); RM80,000 (Hospital Universiti Teknologi Mara); RM50,000 (Hospital Shah Alam, Hospital Banting, Hospital Kajang); RM30,000 (Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tanjong Karang, Hospital Sabak Bernam).

Saipolyazan berkata baki peruntukan inisiatif diserahkan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) Maeps, Pusat Penilaian Covid-19 Stadium Melawati, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Bestari Jaya dan PPV Dewan Sivik MBPJ, petugas barisan hadapan serta orang awam.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta bagi menjayakan 19 inisiatif menerusi Zakat Selangor Peduli yang bertujuan membantu golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif secara berperingkat sehingga Disember tahun ini dijangka memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS, NGO agih 250 pek makanan kepada asnaf, fakir miskin

SHAH ALAM, 6 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Richwork International Sdn Bhd mengagihkan 250 bakul makanan kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Flat PKNS Seksyen 7 pada Sabtu.

Sumbangan berkenaan diagih melalui Pertubuhan Kebajikan Richwell yang disampaikan Hafiz Jasni. Turut serta ketua pegawai eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop.

Setiap bakul bernilai RM120 itu mengandungi beras, minyak masak, gula, tepung, sardin, ubi kentang, bawang, rempah ratus dan barangan kering lain.

Penyerahan sumbangan itu merupakan antara aktiviti turun padang LZS bersama syarikat korporat bagi memberi pengalaman menyantuni golongan asnaf di Selangor.

LZS memaklumkan secara tidak langsung aktiviti itu mendekatkan hubungan pengeluar zakat dengan asnaf.

Selain sumbangan daripada syarikat korporat LZS turut memperuntuk sebanyak 26,350 bakul makanan melalui inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli untuk golongan yang terjejas termasuk asnaf.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan peruntukan zakat RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli bagi membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Inisiatif dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini dijangka memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Zakat Selangor peruntuk RM12,000 naik taraf PPV Klinik Bestari Jaya

PETALING JAYA, 22 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM12,000 untuk menaik taraf pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Bestari Jaya, Kuala Selangor demi keselesaan petugas barisan hadapan.

Ketua pegawai eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata bantuan itu menggunakan peruntukan asnaf amil untuk mengubah suai kawasan parkir ambulans.

“PPV Klinik Bestari Jaya menjadi pusat pertama yang dibantu bagi kerja pengubahsuaian untuk kemudahan petugas barisan hadapan.

“Peruntukan ini disalur dalam masa terdekat supaya segera dinaik taraf demi manfaat semua pihak,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu, Saipolyazan menyerahkan sumbangan sebanyak 20 kerusi roda kepada pengurus PPV berkenaan Nurul Hamiza Mis.

“Ini merupakan tanda sokongan dan keprihatinan LZS terhadap usaha barisan hadapan yang bekerja keras untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar,” katanya.

Pada 26 Jun, LZS menyumbang 20 unit kerusi roda kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sokongan komitmen institusi awam menangani Covid-19.

Bantuan sebanyak RM1.0 juta disalurkan bagi menyokong keperluan asas barisan hadapan melalui sumbangan kepada hospital, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan PPV menggunakan peruntukan asnaf amil.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS, polis agih 1,000 bantuan makanan kepada individu terjejas pendapatan

PETALING JAYA, 22 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengagihkan 1,000 bakul makanan kepada individu terjejas akibat Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan membabitkan peruntukan RM100,000 itu merupakan inisiatif di bawah Zakat Peduli Selangor.

“Setiap satu bakul makanan bernilai RM100 mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering.

“Ini adalah salah satu usaha untuk membantu mereka terkesan dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan bakul makanan di IPD Petaling Jaya.

Terdahulu, Saipolyazan menyerahkan 150 bakul makanan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata pihaknya menerima 348 permohonan individu terjejas akibat pandemik sejak 5 Julai lalu.

“Bantuan bakul makanan ini akan diagihkan kepada 150 penerima dan nama selebihnya diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya.

“Selain menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), anggota juga mengambil inisiatif sendiri membantu memberikan bantuan,” katanya.