Categories
SELANGOR

Noh Omar diikat janji “tak dapat bertanding pun tak apa”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 23 FEB: Datuk Seri Noh Omar diminta mengotakan janjinya untuk menggesa Perdana Menteri supaya Kerajaan Persekutuan mengambil kira kepentingan penduduk sebelum memutuskan jajaran bagi Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata hal itu berikutan pembinaan projek lebuh raya merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan termasuk memilih syarikat konsesi dan membiayai kos pembinaannya.

“Kita dah tahu apa pandangan rakyat dan kita akan memastikan sentimen rakyat diambil kira kerana yang tanggung akhirnya adalah rakyat juga seperti penduduk di Kampung Sungai Gulang-Gulang dan penduduk Tanjung Karang.

wce_alignment_map2“Datuk Seri yang dapat bertemu Perdana Menteri. Saya harap dia dapat beri tekanan kepada Kerajaan Persekutuan supaya ikut kehendak rakyat dan tadi Datuk Seri dah berjanji dengan kita, dia kata tak dapat bertanding pun tidak mengapa. Kita pegang janji Datuk Seri,” kata Iskandar.

Kenyataan itu disambut tepukan gemuruh oleh orang ramai yang menghadiri Majlis Penerangan Projek WCE di Dewan Dato’ Hormat di sini hari ini.

Iskandar turut mengingatkan supaya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengambil kira pandangan rakyat di Tanjung Karang dalam membuat sebarang pindaan terhadap cadangan projek lebuhraya itu.

Noh OmarTerdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar ketika menyampaikan bantahannya berkata, sebelum ini beliau sudah beberapa kali bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu pembinaan lebuh raya itu.

Noh yang cenderung supaya jajaran lebuh raya ini merentasi Pekan Tanjung Karang berkata, beliau sanggup bertemu Najib sekali lagi bagi memastikan projek itu mengambil kira kepentingan rakyat.

“Saya akan jumpa Perdana Menteri bagi memastikan keputusan diambil nanti tepat walaupun selepas ini saya tak dapat bertanding pun tak mengapa,” kata Noh merujuk kerusi Parlimen Tanjung Karang yang disandangnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.