Categories
NASIONAL

Pakatan selesai isu kerusi PRN Sarawak

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Pakatan Harapan hampir menyelesaikan isu pertindihan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ditandingi ketiga-tiga parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Sekretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata penyelesaian itu dicapai dalam pertemuan dengan wakil KEADILAN, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Katanya, ia diadakan perbincangan sebagai usaha untuk memastikan setiap kerusi DUN dipertandingkan dalam PRN Sarawak satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).

SarawakBeliau berkata ketiga-tiga parti itu terus mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan beberapa kerusi lagi yang masih ada isu pertindihan sebelum akhir Mac depan.

“Ketiga-tiga parti diwakili pemimpin mereka di peringkat Nasional dan Sarawak. KEADILAN diwakili oleh Naib Presidennya, Tian Chua; DAP oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Tony Pua dan PAN diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya PAN, Dr Hatta Ramli.

“Perbincangan dalam suasana harmoni, tenang dan penuh dengan gelak ketawa dan boleh laporkan rundingan kerusi dipertandingkan semakin bertambah baik.

“Memang semua tahu ada pertindihan antara ketiga-tiga parti tetapi sebahagian sudah selesai,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat antara ketiga-tiga parti berkenaan di sini, semalam.

Saifuddin berkata, Pakatan Harapan turut mengambil kira ketegasan PAS untuk terus bertanding dalam PRN dan perbincangan dengan parti itu juga sudah dimulakan di peringkat kepemimpinan negeri parti itu di Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, ada kemungkinan untuk Pakatan Harapan tidak bertanding di kesemua 82 kerusi DUN Sarawak jika parti pembangkang lain termasuk PAS mahu bertanding di kerusi berkenaan.

“Pakatan Harapan sentiasa berpegang kepada dasar bahawa kami terbuka kepada sebarang perbincangan dengan parti pembangkang lain dan kami kekal dengan dasar berkenaan di Sarawak.

“Keputusan hari ini adalah sebulat suara bahawa ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan mengambil kira hasrat PAS untuk bertanding di Sarawak.

“Namun, keputusan Pakatan Harapan ialah kami mahu memastikan supaya semua 82 kerusi DUN Sarawak ditandingi kerana tidak mahu BN menang tanpa bertanding,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimistik ketiga-tiga dapat mencari penyelesaian dalam isu pertindihan kerusi.

“Kita akan pastikan ia dikekalkan dengan satu lawan satu.

“Saya belum berpeluang untuk bercakap dengan mereka, namun saya harap ia dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.