Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Pusat mengundi dibuka, pengundian bermula 7.30 pagi

KUCHING, 18 DIS: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula pada 7.30 pagi ini dengan pembukaan 1,866 pusat mengundi membabitkan 3,555 saluran bagi rakyat di Bumi Kenyalang memilih kerajaan negeri yang baharu.

Proses itu membabitkan 1,213,769 pengundi biasa daripada sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar bagi PRN itu yang akan diuruskan oleh seramai 46,565 pegawai pilihan raya di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga pengundian berakhir pada 5 petang.

Bergantung kepada jumlah pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya, ada yang ditutup seawal 12 tengah hari seperti pusat mengundi di Tadika Kemas Kampung Soh yang berada di bawah DUN Muara Tuang, yang hanya mempunyai 97 pengundi.

Pada 14 Dis lepas, sejumlah 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka manakala 17,885 lagi mengundi melalui pos.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pagi ini diramalkan baik di seluruh negeri, bagaimanapun ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang di beberapa bahagian termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Hujan turut diramal di Kapit dan Bintulu pada sebelah petang manakala suhu sepanjang hari dijangka antara 24 hingga 34 darjah Celsius.

Memandangkan negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19, pengundi digesa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) antaranya mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menyaring suhu badan dan merekod kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) aplikasi mudah alih MySejahtera sebelum memasuki pusat mengundi.

Bagaimanapun, bagi pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan masih dibenarkan mengundi di khemah khas dengan diselia oleh pegawai kesihatan manakala individu di bawah pengawasan (PUS) dan individu di bawah siasatan (PUI) perlu memperoleh kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk ke pusat mengundi.

Bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi, pengundi turut dinasihat agar menyemak maklumat pengundian masing-masing melalui aplikasi MySPR Semak atau portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ sebelum keluar mengundi.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 pertarungan lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PAS (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan calon yang bertanding, 87.1 peratus atau 304 adalah lelaki dan bakinya wanita manakala 47 calon berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun, 56 calon (41-50 tahun), 119 calon (51-60 tahun), 117 calon (61-70 tahun) dan 10 calon (71 tahun ke atas).

PRN edisi kali ini berlangsung dalam suasana norma baharu yang menyaksikan ceramah awam, syarahan, kempen secara bersemuka, kunjungan rumah-ke-rumah, tinjauan mesra dan pengedaran risalah secara bersemuka, antara lain, adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh berkempen selama 12 hari, kempen secara bersemuka dengan SOP ketat dibenarkan di 64 DUN yang telah dikenal pasti sebagai memiliki liputan Internet 4G yang lemah.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: 1,866 pusat mengundi dibuka esok

KUCHING, 17 DIS: Sebanyak 1,866 pusat mengundi melibatkan 3,555 saluran akan dibuka untuk pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 46,565 petugas akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian yang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

“Seramai 1,213,769 pengundi bakal mengundi di PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-12 esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengundi yang hadir ke pusat mengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dengan pengundi perlu melalui empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya.

Ikmalrudin juga berkata pengundi bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan dan individu terbabit akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.

“Individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi,” katanya.

Beliau turut menegaskan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi esok agar tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa bahan yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon bertanding.

Selain itu, apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat mengundi.

Ikmalrudin berkata petugas SPR sudah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi untuk kegunaan bagi proses pengundian esok.

“Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik. Peralatan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi,” katanya.

Beliau menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan sepertimana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR itu turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi.

“Mana-Mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntuk hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: SPR nasihat pengundi keluar ikut cadangan masa

KUCHING, 16 DIS: Pengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Sabtu ini dinasihat supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata suruhanjaya itu melalui aplikasi MySPR Semak telah meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi.

Beliau berkata sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh mengundi mengikut kelapangan masa dari 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

“Namun demikian, pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan dan mereka juga disaran membuat semakan awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan proses semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Pengundi juga dinasihatkan menyimpan kad pengenalan dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi Sabtu ini manakala seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 orang telah mengundi secara pos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: 89 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

KUCHING, 14 DIS: Sejumlah 89 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu melibatkan 18,141 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan mereka.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.

Pengundian awal hari ini dilaksanakan di 85 pusat mengundi dengan 111 saluran disediakan. Ia berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5 petang.

SPR menetapkan pengundian PRN12 pada Sabtu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Pusat pengundian awal ditutup

KUCHING, 14 DIS: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) berakhir pukul 5 petang ini.

Pengundian awal PRN12 kali ini melibatkan 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan, yang dilaksanakan di 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran disediakan di pusat mengundi.

Proses mengundi awal diadakan sejak 7.30 pagi.

Tinjauan Bernama di lokasi pengundian awal di beberapa lokasi mendapati proses berjalan lancar mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh turut hadir meninjau proses pengundian awal di beberapa lokasi seperti di Dewan Bukavu Kem Penrissen dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Badruddin di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Lebih 20,000 tentera, polis undi awal pagi ini

KUCHING, 14 Dis (Bernama) — Pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12) yang melibatkan anggota dan pegawai polis serta tentera dan pasangan bermula 7.30 pagi ini.

Ia melibatkan 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan.

Pengundian itu dijangka dilaksanakan sehingga 5 petang ini.

Sejumlah 349 calon bersaing dalam PRN12 dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh pengundian pada Sabtu ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: 10,458 anggota polis, pasangan undi awal esok

KUCHING, 13 DIS: Seramai 10,458 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 esok, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Katanya 85 pusat pengundian awal dengan 111 saluran akan dibuka mulai 7.30 pagi hingga 5 petang dengan 5,522 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan serta memastikan proses pengundian awal esok berjalan dengan lancar.

“Pusat mengundi awal terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu pejabat Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan juga sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi undi pos pula menurutnya, jumlah permohonan bagi pihak polis adalah sebanyak 1,200 dengan 705 telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mancha berkata pihak polis telah mengeluarkan enam kompaun kepada pihak-pihak yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021), dengan kompaun terkumpul berjumlah RM31,000.

Beliau berkata polis telah membuka 39 kertas siasatan bagi tempoh 30 Nov lepas hingga semalam, di samping menerima 1,837 permohonan bagi mendapatkan permit polis untuk berkempen secara fizikal daripada parti serta calon-calon yang bertanding.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat iringi proses penamaan calon dua DUN PRN Sarawak

LAWAS, 6 DIS: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi sehingga awal pagi ini di Lawas menjadi ‘ujian’ pertama bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 melibatkan Dewan Udangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan Ba’Kelalan.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi. Bagi DUN Bukit Sari, proses penamaan calon akan berlangsung di Majlis Daerah Lawas, manakala bagi DUN Ba’kelalan dilaksanakan di bangunan lama Majlis Daerah Lawas, yang terletak kira-kira dua kilometer daripada Majlis Daerah Lawas.

Setakat jam 8 pagi, hujan gerimis, keadaan dingin dan kabus menyelubungi beberapa kawasan di Pekan Lawas.

Di Majlis Daerah Lawas, petugas media dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama anggota keselamatan dan kesihatan juga mula berada di situ seawal jam 7 pagi, dua jam sebelum proses penamaan calon bermula.

Terdapat khemah khas disediakan bagi individu yang didapati bergejala selain semua langkah mencegah penularan Covid-19 dilaksanakan dengan ketat berdasarkan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

DUN Bukit Sari dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru termasuk penyandang dari Parti Gabungan Sarawak (GPS) iaitu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Sementara itu, DUN Ba’Kelalan diramalkan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru melibatkan penyandang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak sementara undi awal dijadualkan berlangsung 14 Dis dan hari mengundi pula pada 18 Dis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Ribut petir diramal di beberapa kawasan penamaan calon esok

KUCHING, 5 DIS: Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa tempat di Sarawak dilanda ribut petir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 esok.

Menerusi laman sesawang MetMalaysia hari ini, hujan dijangka berlaku di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman negeri pada pagi manakala ribut petir dijangka berlaku di satu atau dua tempat pada petang.

Selain itu, hujan diramalkan berlaku di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman di sebelah malam.

Sejumlah 82 pusat penamaan calon dibuka di seluruh negeri bermula 9 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Dalam pada itu, SPR menerusi laman sesawang rasminya hari ini mencadangkan masa bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi untuk mengawal jumlah pengundi yang datang ke pusat mengundi dalam satu-satu masa.

SPR memaklumkan pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR.

“Peringkat waktu yang digalakkan adalah 7.30 pagi hingga 9.30 pagi, 9.30 pagi hingga 11.30 pagi, 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang dan 3.30 petang hingga 5 petang,” menurut laman sesawang itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: Kempen fizikal hanya di DUN tiada capaian internet tinggi

KUCHING, 5 DIS: Penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai capaian internet yang tinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman sesawang rasmi memaklumkan antara kawasan itu adalah Opar, Bukit Sari, Gedong, Dalat, Simunjan, Ba’Kelalan, Marudi, Saribas, Asajaya serta Tanjong Datu dan sebarang penganjuran ceramah dan syarahan selain daripada 64 kawasan itu adalah tidak dibenarkan.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) bagi penganjuran ceramah dan syarahan ialah kehadiran peserta hendaklah 50 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 150 orang dalam satu-satu masa dan peserta yang menghadiri ceramah dihadkan kepada penduduk kampung atau rumah panjang itu sahaja.

“Selain itu, parti-parti atau calon-calon yang bertanding bertanggungjawab untuk memastikan penduduk luar dari kampung atau rumah panjang tersebut tidak menghadiri ceramah atau syarahan yang dianjurkan.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ceramah atau syarahan diadakan dengan tarikh, masa dan tempat hendaklah dinyatakan dalam permit untuk memudahkan pihak polis membuat pemantauan,” menurut laman sesawang itu hari ini.

Menurut SPR, tempoh dua jam diberikan bagi setiap sesi ceramah fizikal dan tidak melebihi 10 malam, dengan penganjuran perlu dilakukan di lokasi tertutup seperti dewan, balai raya atau ruai serta tiada sebarang bentuk hiburan semasa berkempen.

SOP lain termasuk memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sepanjang masa, membenarkan hanya individu lengkap vaksin hadir dan menyediakan kaunter saringan kesihatan.

Sementara itu, SPR menggalakkan calon untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Oleh itu, penggunaan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram, rangkaian televisyen dan akhbar tempatan untuk berkempen adalah digalakkan.

Dalam pada itu, SPR tidak membenarkan temu bual secara spontan (terjah) atau di luar masa dan SPR juga akan menetapkan sesi sidang media atau temu ramah di pusat-pusat mengundi bagi memastikan pematuhan penjarakan fizikal.

“Hanya wartawan yang telah lengkap menerima vaksin dibenarkan hadir ke sesi sidang media atau temu ramah dengan pematuhan SOP termasuk penjarakan fizikal. Wartawan yang bergejala atau positif Covid-19 atau kontak rapat tidak dibenarkan hadir ke sesi sidang media atau temu ramah,” menurut SPR.

SPR menetapkan esok hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian PRN Sarawak pada 18 Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penamaan calon PRN Sarawak bermula esok pagi

KUCHING, 5 DIS: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula esok dengan proses penamaan calon di 82 pusat penamaan calon (PPC) seluruh negeri bermula pukul 9 pagi.

Tidak seperti sebelum ini, PRN ke-12 ini diadakan dalam suasana berbeza susulan pandemik Covid-19 iaitu setakat ini hanya Sarawak dan Kelantan masih berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, manakala negeri-negeri lain sudah beralih ke Fasa Empat.

Bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka dibenarkan masuk ke PPC bagi mengemukakan kertas pencalonan calon.

Penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan masuk, begitu juga sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

Bakal calon pula diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan dan bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal-bakal calon diseru agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Calon-calon dan parti politik diberi tempoh 12 hari untuk berkempen sebelum tarikh mengundi pada 18 Dis sepertimana ditetapkan SPR.

Undi awal pula ditetapkan pada 14 Disember.

Tatacara operasi piawai untuk proses berkempen bagaimanapun sehingga hari ini belum diumumkan.

PRN Sarawak sebelum ini tidak dapat diadakan sebaik tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari 11 Januari sehingga 1 Ogos bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Darurat ini ditarik balik pada 3 November yang menyaksikan DUN Sarawak terbubar secara automatik dan memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak dilaksanakan SPR.

Sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan dan setakat semalam, jurucakap SPR memaklumkan 1,268 borang penamaan calon telah terjual.

PRN kali ini akan menyaksikan seramai 1,252,014 pengundi layak mengundi terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran dan seramai 46,565 individu dilantik bagi mengendalikan PRN Sarawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 5,500 anggota polis ditugas sepanjang PRN Sarawak

KUCHING, 3 DIS: Sebanyak 5,522 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas pada hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak turut mewujudkan 47 pasukan Op Cantas di setiap daerah negeri itu dalam tempoh hari penamaan calon dan berkempen.

“Pasukan PDRM lain, yang turut berada dalam kesiapsiagaan untuk menghadapi hari penamaan calon dan tempoh berkempen ini adalah pasukan ketenteraan awam iaitu Light Strike Force, Public Order and Riot Unit, Pasukan Pemantauan Udara serta bantuan empat unit dron dari Pasukan Gerakan Udara PDRM Kontinjen Sarawak.

“PDRM Kontinjen Sarawak menasihati calon dan parti bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan proses penamaan calon dan juga proses PRN dalam tempoh berkempen berjalan lancar dan selamat tanpa insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akta yang akan diguna pakai PDRM ialah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Akta 342 – Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Komunikasi Multimedia 1988, Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sejumlah 82 pusat penamaan calon dengan tempoh berkempen bagi kesemua calon berlangsung selama 12 hari bermula 6 Dis selepas proses penamaan calon hingga 11.59 malam, 17 Dis.

SPR telah menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Dis.

-BERNAMA