Categories
SELANGOR

Peguam Syarie perlu hadapi cabaran fahaman liberalisme

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Peguam Syarie perlu bersedia berhadapan cabaran penularan fahaman liberalisasi dan pejuang hak kemanusiaan yang bertunjangkan tafsiran sempit barat bertentangan Islam.

Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata fahaman itu dilihat menular melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang mencabar peruntukan jenayah khalwat kononnya bercanggah kebebasan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.

JAKESS Peguam“Mereka ini adalah masyarakat Islam yang merosakkan kerohaniannya sehingga menjadi liberal dan mentafsirkan hak asasi secara literal tanpa memikirkan maslahat masyarakat serta keperluan Maqasid Syariah.

“Setiap undang-undang berfungsi untuk mengawal dan mendidik masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor 2015 di Dewan Muktamar, Bangunan MAIS.

Selain kumpulan liberal, golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) juga pernah bangkit mencabar kewibawaan Islam yang sedikit sebanyak mengganggu kredibiliti perundangan dan kehakiman Syariah.

Mohamad Adzib turut mengingatkan perkembangan ajaran bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh memesongkan akidah masyarakat seperti Syiah, Wahabi dan Milah Abraham.

“Bentuk pemikiran, fahaman dan doktrin palsu ini adalah bentuk serangan secara diam yang dibuat terhadap institusi Islam,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.