Categories
NASIONAL

Bakal peguam syarie wajib jalani latihan dalam kamar enam bulan

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Bakal peguam syarie akan diwajibkan untuk menjalani latihan dalam kamar selama enam bulan, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 diluluskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia bertujuan untuk membiasakan diri mereka dengan perundangan substantif dan tatacara yang perlu dipatuhi dalam pengendalian satu-satu kes.

“Latihan dalam kamar ini akan membantu bakal peguam dan akan dibantu oleh peguam syarie kanan yang mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas dalam perundangan syariah,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk mencadangkan amalan, etika, kelakuan dan tatatertib profesional peguam syarie selain menubuhkan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, Akta Pertadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993) yang terpakai hari ini, adalah terhad dan tidak meliputi semua aspek yang berkenaan dengan pentadbiran dan pengawal selian profesion peguam syarie.

“Sebagai contoh kaedah-kaedah peguam syarie tiada peruntukan mengenai keperluan mengadakan latihan dalam kamar ataupun chambering,” katanya.

Ketika sesi perbahasan, Nor Azrina Surip (PH-Merbok), berkata rang undang-undang akan meningkatkan standard profesional serta kualiti peguam syarie kerana ditadbir urus dan dikawal selia dengan lebih profesional.

“Saya yakin satu lagi sejarah akan dilakar dengan lulusnya rang undang-undang ini yang mana mengubah landskap sistem kehakiman Islam,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula mencadangkan supaya proses peguam syarie menjadi peguam sivil dipermudahkan kerana peguam syarie yang telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah mempunyai pendidikan asas perundangan sivil dan kanun jenayah.

“Perkara saya nak timbulkan ialah bagaimana peguam sivil nak jadi peguam syarie agak mudah, ada ijazah sarjana muda undang-undang kemudian tambah lagi setahun Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan, temu duga terus boleh jadi peguam syarie.

“Sebaliknya, peguam syarie terpaksa membuat semacam ijazah pertama semula tambah lagi empat tahun meskipun mereka telah mengikut ijazah sarjana muda syariah selama empat tahun,” katanya.

Sidang dewan bersambung Isnin ini. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sedih bercampur gembira terima pentauliahan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 NOV: Perasaan sedih bercampur gembira dirasai Noor Hanim Mohd Ghazali ketika menerima pentauliahan sebagai Peguam Syarie, berikutan kehilangan anak keduanya selepas 11 hari dilahirkan pada April lalu.

Noor Hanim, 29, yang baru ditauliahkan berkata, selepas melahirkan anak pada April, dia menerima panggilan temuduga bagi pentauliahan sewaktu berpantang pada Mei lalu.

“Saya melahirkan anak kedua April lalu dan mendapat panggilan temuduga pada bulan Mei, tetapi anak saya meninggal dunia ketika berusia 11 hari kerana jangkitan kuman.

“Bagaimanapun, saya cekalkan diri dan kawal emosi ketika menghadiri temuduga tersebut kerana bidang pekerjaan sebagai peguam syarie ini turut bermain dengan emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Selangor 2017 di Dewan Muktamar, Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS), semalam.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Mohammad Adib Hussain dan Ketua Pendaftar JAKESS, Noor Huda Roslan.

Noor Hanim berkata, walaupun terdapat kesedihan terpaksa ditanggung sebelum ditauliahkan, tetapi ada kejayaan lebih manis menunggu di sebaliknya.

“Saya memilih kerjaya peguam kerana mahu menolong masyarakat pada masa kini dilihat kurang celik dengan ilmu syariah maka inilah tanggungjawab saya membantu mereka,” katanya.

Noor Hanim adalah antara 29 peguam syarie mendapat pentauliahan pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Mohd Adib berkata, JAKESS menerima banyak permohonan untuk pentauliahan peguam syarie di Selangor.

“Setakat ini terdapat kira-kira 250 lebih peguam syarie yang aktif di seluruh Selangor.

“Diharapkan, peguam baharu ditauliahkan ini dapat menjalankan tugas dengan amanah dan tidak melanggar etika ditetapkan agar undang-undang syariah dilihat sebagai undang-undang adil dan terbaik,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Peguam Syarie perlu hadapi cabaran fahaman liberalisme

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Peguam Syarie perlu bersedia berhadapan cabaran penularan fahaman liberalisasi dan pejuang hak kemanusiaan yang bertunjangkan tafsiran sempit barat bertentangan Islam.

Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata fahaman itu dilihat menular melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang mencabar peruntukan jenayah khalwat kononnya bercanggah kebebasan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.

JAKESS Peguam“Mereka ini adalah masyarakat Islam yang merosakkan kerohaniannya sehingga menjadi liberal dan mentafsirkan hak asasi secara literal tanpa memikirkan maslahat masyarakat serta keperluan Maqasid Syariah.

“Setiap undang-undang berfungsi untuk mengawal dan mendidik masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor 2015 di Dewan Muktamar, Bangunan MAIS.

Selain kumpulan liberal, golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) juga pernah bangkit mencabar kewibawaan Islam yang sedikit sebanyak mengganggu kredibiliti perundangan dan kehakiman Syariah.

Mohamad Adzib turut mengingatkan perkembangan ajaran bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh memesongkan akidah masyarakat seperti Syiah, Wahabi dan Milah Abraham.

“Bentuk pemikiran, fahaman dan doktrin palsu ini adalah bentuk serangan secara diam yang dibuat terhadap institusi Islam,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Peguam Syarie disaran elak tangguh kes

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Peguam syarie disaran lebih bertanggungjawab mengendalikan kes serta tidak melengahkan masa secara sengaja demi meraih banyak keuntungan.

Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata sebagai peguam yang membawa nama ‘Syariah’, mereka diseru memberikan nasihat terbaik kepada pelanggan supaya menyelesaikan kes difailkan melalui sulh atau persetujuan bersama.

PC (36 of 66)“Dengan cara ini, lebih banyak kes difailkan diselesaikan dengan lebih cepat dan sekali gus mengelakkan berlakunya peningkatan tunggakan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor 2015 di Dewan Muktamar Bangunan MAIS.

Beliau turut mengharapkan peguam syarie yang baru dilantik bersama-sama memartabatkan institusi perundangan dan kehakiman Syariah di Selangor.

Seramai 49 menerima pentaulihan rasmi selaku Peguam Syarie Negeri Selangor 2015.

Majlis itu disempurnakan Mohamad Adzib sambil diiringi Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Kesemua mereka layak mendapat tauliah selepas menamatkan pengajian Diploma Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam dan latihan dalam kamar selama sembilan bulan.

Sebelum itu, penerima tauliah membaca ikrar selaku peguan syarie yang diketuai Muhammad Zaki Sukery.

EZY