Categories
SELANGOR

Pemaju hartanah dituntut sedia bas percuma – MB

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 FEB: Pemaju hartanah di Selangor dituntut menyediakan bas percuma ‘Bas Smart Selangor’ dan kemudahan berkaitannya di kawasan pembangunan masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pemaju dalam memastikan penduduk kawasan terbabit tidak tercicir menerima manfaat tersebut.

MB Azmin“Saya akan berjumpa dan berbincang dengan pemaju hartanah supaya mereka perlu menyediakan beberapa unit bas percuma untuk penduduk sekitar di kawasan pembangunan mereka.

“Semua pemaju hartanah di negeri ini bersiap sedia untuk berbincang perkara ini. Kita perlu ingat keuntungan bukan untuk kita tetapi tanggungjawab sosial juga menjadi teras pengurusan ekonomi,” katanya ketika Majlis Penjenamaan Semula Taman Sains Selangor 2, di SACC, di sini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata sebanyak 41 buah bas sedang disediakan di beberapa komuniti dan dijangkakan sehingga Julai depan ia akan dapat merangkumi sembilan daerah.

“Walaupun ia menelan kos besar tetapi sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri memberi kemudahan kepada rakyat,” katanya.

bas selangorku 1Statistik sehingga November 2015 menunjukkan 452,000 sudah menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor sejak dilancarkan pada Julai tahun sama.

Sehingga kini Bas Smart Selangor sudah beroperasi di pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Bas Smart Selangor dilengkapi ciri lengkap kemudahan tempat duduk keutamaan, berkapasiti 60 penumpang, sistem maklumat penumpang, kemudahan Wifi dan mesra orang kelainan upaya (OKU).

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.