Categories
SELANGOR

Peruntukan RM500,000 bantu NGO, organisasi muda

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 FEB : Sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi memperkasa pembangunan modal insan dan belia negeri itu dengan penglibatan pelbagai pertubuhan dan organisasi.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata peruntukan itu diberikan sebagai komitmen membantu golongan itu membabitkan penganjuran program pembangunan di seluruh negeri.

Perjumpaan NGO Belia bersama YB Amirudin Shari (ASRI) (2) (1)“Di bawah program pembangunan belia, kita teruskan PeBT sebagai salah satu saluran kita melaksanakan pelbagai program yang mana untuk tahun lepas saja lebih 620 program di peringkat akar umbi dan negeri.

“Bagi tahun ini, kita memfokuskan kepada usaha bantu pertubuhan dan organisasi dengan menyediakan bajet sejumlah RM500,000 sebagai geran kepada mereka untuk bersama kerajaan negeri menganjurkan program dan aktiviti mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas program minum petang bersama badan bukan kerajaan (NGO) Selangor di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik pelbagai pelaksanaan dan perancangan program yang selari dengan Dasar Belia Selangor.

“Komitmen ini diteruskan dan digabungkan lagi dengan pelbagai program dengan usaha yang dijalankan bersama di peringkat negeri,” katanya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mengumumkan peruntukan belanjawan sejumlah RM25.08 juta diperuntukan bagi program generasi muda dan sukan.

Jumlah itu meliputi sukan, pendidikan, latihan dan kemahiran, keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan komunikasi serta kemasyarakatan, jaringan dan kesukarelawanan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.