Categories
NASIONAL

Rafizi: Keupayaan MARA biaya pinjaman pelajar dipersoal

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 FEB: Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli,hari ini meminta penjelasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berhubung kemampuan agensi itu membiayai pinjaman pelajar.

Katanya, sikap MARA yang tidak berterus terang berhubung pinjaman pelajaran menimbulkan kebimbangan mengenai kedudukan sebenar kesediaan dan kemampuannya membiayai pendidikan Bumiputera.

rafizi-pc-white-stripes-03“Saya sering dihubungi oleh ibu bapa dan pelajar yang memohon atau ditawarkan skim pembiayaan pendidikan MARA mengenai masalah yang mereka hadapi.

“Daripada aduan-aduan ini menunjukkan MARA menghadapi masalah melaksanakan tanggungjawabnya membiayai pendidikan pelajar Bumiputera walaupun Anuar memberikan gambaran sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Annuar menyatakan peruntukan yang diberikan Putrajaya kepada MARA bagi tujuan pembiayaan pendidikan setiap tahun iaitu dari 2009 hingga 2016.

“Saya akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersabit MARA termasuklah isu pembiayaan ini selain maklumat lanjut skandal pembelian hartanah Mara di Australia dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya

Rafizi berkata, antara aduan tertinggi yang diterimanya ialah masalah pelajar di Universiti Kuala Lumpur yang mendakwa mereka gagal menerima pembiayaan pinjaman MARA.

mara logo“Mereka pada asalnya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan dengan persetujuan yuran kursus dan elaun sara hidup disediakan melalui pinjaman MARA.

“Setelah mereka memulakan pengajian, mereka belum mendapat sebarang tawaran pembiayaan, namun apabila menghubungi MARA, mereka dimaklumkan permohonan belum dibuka,” katanya.

Rafizi berkata, semakan di laman web MARA menunjukkan tidak ada satu skim pembiayaan pendidikan pun dibuka setakat ini dengan sistem Pinjaman Pelajaran Mara di eduloan.mara.gov.my masih ditutup.

“Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar terutamanya ekoran keputusan kerajaan memotong pelbagai peruntukan pendidikan termasuklah biasiswa JPA,” katanya.

Mereka yang menghadapi masalah itu disaran mengisi maklumat di bit.ly/AduanMara.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.