Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Penghantaran pelajar ke luar negara ditangguh

MANCHESTER, 19 MAC: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menangguhkan penghantaran pelajar ke luar negara pada ketika ini.

Ketika dihubungi melalui e-mel, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Rohayah Mohd Zain berkata keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira keadaan semasa dan isu penularan Covid-19 melanda dunia.

Mengulas mengenai pelajar Malaysia tajaan MARA di luar negara ketika ini, beliau berkata MARA memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, jabatan kesihatan, universiti, kedutaan, konsulat, pesuruhjaya tinggi Malaysia.

“Kami juga sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan Malaysia di negara-negara yang terdapat pelajar tajaan MARA,” katanya.

Di bawah Belanjawan Malaysia 2020, kerajaan telah memperuntukkan RM1.3 bilion bagi institusi pengajian di bawah MARA dan sebanyak RM2 bilion bagi membiayai pinjaman untuk 50,000 pelajar.

Setakat Mac tahun ini, terdapat seramai 2,932 orang pelajar tajaan MARA di luar negara dan menurut Majlis itu, United Kingdom mencatatkan jumlah pelajar Malaysia tertinggi, iaitu seramai 902 pelajar, diikuti Australia (372), India (312), Jerman (246), Ireland (225) dan Amerika Syarikat (222).

Sementara itu, di tanah air, MARA telah memaklumkan bahawa sesi pengajian, kuliah dan latihan industri bagi semua institusi pendidikan MARA di seluruh negara iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Universiti Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech MARA, GIATMARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Profesional MARA, Kolej MARA, German-Malaysian Institute, Kolej Unversiti Poly-Tech MARA dan Malaysia-Japan Industrial Institute, akan dihentikan sementara dan diselaraskan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian atau dilaksana secara dalam talian.

Bagi sebarang urusan berkaitan pembayaran, permohonan dan pertanyaan boleh dibuat secara dalam talian di www.mara.gov.my, menghubungi pusat panggilan MARA di talian 03-2613 2000 atau media sosial rasmi MARA.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

31 pelajar ke universiti terbaik dunia terima surat tawaran pinjaman MARA

PUTRAJAYA, 8 JUL: Seramai 31 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terbaik dunia (WTU) menerima surat tawaran pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Mereka akan melanjutkan pelajaran ke universiti seperti University of Oxford, Imperial College London, University College London dan London School of Economics and Political Science di United Kingdom, University of Michigan di Amerika Syarikat, Technical Ludwig-Maximilians Universitat Munchen di Jerman dan Nanyang Technological University di Singapura.

Amir Khaled Farid, 20, begitu teruja menerima surat tawaran itu daripada Dr Mahathir sendiri yang merupakan antara idolanya dalam bidang politik selain bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Beliau yang akan melanjutkan pelajaran dalam kursus Falsafah Politik dan Ekonomi di London School of Economics and Political Science itu berhasrat untuk menjadi ahli politik yang mampu mengubah landskap politik negara supaya lebih matang dan lebih fokus kepada isu berbanding sentimen emosi.

“Ini merupakan satu motivasi dan saya akan pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian untuk membantu membangunkan negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima surat tawaran itu.

Itrisyia Dayini Kamarul Baharin, 19, yang akan melanjutkan pelajaran di University of Oxford dalam kursus Pengajian Arab dan Tamadun Islam berkata beliau memilih bidang itu kerana minatnya terhadap sejarah dan politik Timur Tengah moden.

“Minat saya terhadap Timur Tengah bermula apabila saya mengambil Diploma Sejarah. Banyak yang saya pelajari tentang sejarah Timur Tengah dan saya mahu meneruskan pengajian mengenainya,” katanya.

Bagi Muhammad Jibril Saifullah Kamarul Hisham, 20, yang akan ke University College London dalam bidang Bio Chemistry, tawaran itu sangat bermakna baginya memandangkan peluang mendapat pinjaman dalam bidang itu sangat sukar berbanding kursus lain.

Jika diberi peluang beliau berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana di Amerika Syarikat dan membawa pulang ilmu yang diperolehinya ke tanah air.

“Dengan situasi perubahan iklim sekarang, kita kena fokus lebih kepada sains,” katanya, sambil menambah beliau berhasrat untuk membuka sebuah syarikat bioteknologi di Malaysia.

Menurut MARA dalam kenyataan media sempena majlis hari ini, program WTU itu merupakan pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar cemerlang yang ditawarkan mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terbaik dunia.

Program pinjaman pelajaran MARA telah diwujudkan sejak 1966 dan telah menaja seramai 523,940 orang pelajar, katanya.

MARA memaklumkan, bagi tahun ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program itu dan setakat Mei, sejumlah 37,909 pelajar telah mendapat manfaat mengikuti pengajian di institusi dalam dan luar negara.

Program WTU adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada program sedia ada dan pada tahun ini, MARA memperluaskan pilihan universiti kepada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Jepun, China, Korea, Rusia dan Switzerland, katanya.

Pemilihan universiti-universiti berkenaan dirujuk kepada kedudukan universiti terbaik yang dikeluarkan oleh organisasi pengiktirafan peringkat antarabangsa setiap tahun, kata MARA. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

MARA tamat pinjaman: 1,000 pelajar 33 kolej swasta mungkin berhenti

SHAH ALAM, 14 FEB: Biro Mahasiswa Pemuda KEADILAN dalam satu kajian mendapati hampir 1,000 pelajar di 33 kolej swasta sukar meneruskan pengajian ekoran Majlis Amanah Rakyat (MARA) menamatkan pemberian pengajian pelajaran.

Ketua Biro Pelajar Pemuda KEADILAN, Fahmi Zainol, berkata 80.7 peratus pelajar terlibat mungkin akan menamatkan pengajian sekiranya tidak menerima pinjaman, manakala 82 peratus pelajar secara peribadi mengetahui rakan mereka sudah berhenti belajar kerana gagal mendapatkan pinjaman.

Fahmi_Zainol_“Mara mempunyai masalah untuk memberikan pinjaman. Kemudahan permohonan pinjaman atas talian mereka juga sudah tidak lagi menerima permohonan baharu,” katanya memetik laporan The Malaysian Insider.

Fahmi berkata, lebih 90% daripada responden kajian itu melahirkan kebimbangan dengan keadaan kewangan mereka.

“Kebanyakan pelajar ini sudah mendaftar di kolej masing-masing bermula Julai tahun lepas. Apabila gagal memohon pinjaman, mereka terpaksa menggunakan duit ibu bapa bagi membayar yuran semester pertama.

“Tetapi kini, mereka sudah memulakan semester ke-2 tahun ini dan tidak tahu di mana mereka boleh dapatkan duit untuk membayar yuran pengajian.

“Sebab itu beberapa pelajar berhenti selepas semester pertama (pada Julai),” katanya.

Pada 12 Februari lalu, MARA berkata sejumlah RM264 juta sudah diperuntukkan kepada pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mengadu mereka tidak menerima pinjaman seperti dijanjikan.

Kajian itu juga mendapati kira-kira 80 peratus daripada 945 pelajar berkenaan yang merupakan penuntut kolej tajaan MARA yang sudah dijanjikan pinjaman pelajaran. Ini termasuk pelajar yang menuntut di UniKL.

Fahmi berkata, pihaknya juga mendapati mereka yang sedang menuntut di kolej bukan tajaan MARA juga berharap pemberian pinjaman pelajaran mereka dikekalkan.

MARA PENDIDIKANDaripada 33 institusi itu, sembilan adalah politeknik Mara di Johor, Pahang, Kedah dan Kelantan. Selebihnya merupakan kolej swasta di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.

Dua daripadanya ialah universiti luar negara, Universiti Sunderland di London, United Kingdom dan Universiti Mansoura, Mesir.

Semua 945 pelajar itu juga sudah menulis surat kepada sebuah pusat aduan atas talian yang dibuka biro berkenaan.

“Tetapi kami mengesahkan aduan mereka dengan melawat universiti berkenaan untuk bertanya sendiri dengan sekumpulan sampel pelajar terlibat,” kata Fahmi.

Pada 10 Februari lalu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli turut mendesak Mara untuk berterus terang mengenai program pinjaman agensi itu.

-nR-

Categories
NASIONAL

Rafizi: Keupayaan MARA biaya pinjaman pelajar dipersoal

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 FEB: Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli,hari ini meminta penjelasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berhubung kemampuan agensi itu membiayai pinjaman pelajar.

Katanya, sikap MARA yang tidak berterus terang berhubung pinjaman pelajaran menimbulkan kebimbangan mengenai kedudukan sebenar kesediaan dan kemampuannya membiayai pendidikan Bumiputera.

rafizi-pc-white-stripes-03“Saya sering dihubungi oleh ibu bapa dan pelajar yang memohon atau ditawarkan skim pembiayaan pendidikan MARA mengenai masalah yang mereka hadapi.

“Daripada aduan-aduan ini menunjukkan MARA menghadapi masalah melaksanakan tanggungjawabnya membiayai pendidikan pelajar Bumiputera walaupun Anuar memberikan gambaran sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Annuar menyatakan peruntukan yang diberikan Putrajaya kepada MARA bagi tujuan pembiayaan pendidikan setiap tahun iaitu dari 2009 hingga 2016.

“Saya akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersabit MARA termasuklah isu pembiayaan ini selain maklumat lanjut skandal pembelian hartanah Mara di Australia dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya

Rafizi berkata, antara aduan tertinggi yang diterimanya ialah masalah pelajar di Universiti Kuala Lumpur yang mendakwa mereka gagal menerima pembiayaan pinjaman MARA.

mara logo“Mereka pada asalnya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan dengan persetujuan yuran kursus dan elaun sara hidup disediakan melalui pinjaman MARA.

“Setelah mereka memulakan pengajian, mereka belum mendapat sebarang tawaran pembiayaan, namun apabila menghubungi MARA, mereka dimaklumkan permohonan belum dibuka,” katanya.

Rafizi berkata, semakan di laman web MARA menunjukkan tidak ada satu skim pembiayaan pendidikan pun dibuka setakat ini dengan sistem Pinjaman Pelajaran Mara di eduloan.mara.gov.my masih ditutup.

“Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar terutamanya ekoran keputusan kerajaan memotong pelbagai peruntukan pendidikan termasuklah biasiswa JPA,” katanya.

Mereka yang menghadapi masalah itu disaran mengisi maklumat di bit.ly/AduanMara.

-nR-