Categories
KENYATAAN MEDIA

Selangor bantu rakyat harungi cabaran 2016

OLEH : Zaidy Abdul Talib

Tahun ini adalah tahun penuh cabaran bagi rakyat kebanyakan khususnya penduduk Negeri Selangor. Tempoh dua bulan ini pun sudah cukup peritnya apabila mendengar keluhan dan rintihan rakyat yang tidak cukup wang untuk berbelanja.

Penoreh getah mengadu harga getah rendah, pengusaha sawit juga mengadu harga sawit tidak seperti dulu.

Peniaga kecil khususnya peniaga melayu ramai terjejas teruk kesan daripada pelaksanaan GST tempoh hari. Pekerja-pekerja industri besar dibuang kerja sekaligus menyebabkan kadar pengangguran terus meningkat.

Umum mengetahui bahawa kenaikan kos sara hidup yang berlaku sejak tahun lepas menjadi punca kemarahan rakyat kebanyakan. Ini kerana kenaikan mendadak harga barang dan kos perkhidmatan telah berlaku memberi kesan dalam peningkatan perbelanjaan isi rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

ZaidyIndeks Harga Pengguna menunjukkan peningkatan mendadak sehingga mencatat 114.8 poin pada akhir tahun 2015 dan dijangka akan terus meningkat sehingga hujung tahun 2016.

Ini terbukti menunjukkan rakyat terkesan teruk dengan kenaikan demi kenaikan kos dan perkhidmatan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Semua golongan terkesan dengan kenaikan ini. Golongan tua, golongan muda, penjawat awam, mahasiswa, petani, buruh serta anak kecil juga merasai kenaikan kos sara hidup ini.

Sebagai contoh kes yang berlaku dalam kalangan siswa yang tidak mempunyai wang untuk makan baru-baru ini sedikit sebanyak kesan daripada peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Walaupun sebelum ini kes pelajar tidak cukup makan di universiti adalah perkara biasa, namun hari ini perkara tersebut menjadi luar biasa dek kerana kesan inflasi melampau yang menghantui golongan pelajar yang tidak mempunyai pendapatan ini.

Sedangkan golongan yang bekerja dan mempunyai pendapatan tetap pun terkesan inikan golongan seperti mereka yang tidak bekerja.

Seramai 5.8 juta penduduk Negeri Selangor terkesan dengan kenaikan ini disamping penduduk Selangor yang menetap di kawasan Lembah Klang dan sekitarnya kira-kira berjumlah 5 juta orang paling menerima kesan.

Ini kerana kesan GST serta kenaikan tol dan tambang pengangkutan awam khususnya banyak berlaku dan berlegar dalam kalangan rakyat di Selangor.

Sebagai contoh apabila ramai dalam kalangan penduduk Selangor bekerja di sekitar Lembah Klang, kesan kenaikan tol dan pengangkutan awam telah mengakibatkan perbelanjaan isi rumah dalam kategori pengangkutan meningkat sehingga lebih 21% dan tertinggi berbanding kategori lain.

Kategori makanan juga antara yang tertinggi khususnya selepas daripada pelaksanaan GST menyebabkan rakyat berjimat cermat untuk membeli makanan.

Segala yang ditempuh rakyat Selangor sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri dan sering dibincangkan di peringkat Exco dan Adun dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Bagi golongan petani, peladang, penternak dan nelayan mereka merupakan sebahagian rakyat Selangor yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan sebahagian mereka mempunyai mendapatan bawah RM 1000.

Justeru melalui bantuan antaranya program bantuan nelayan dan akuakultur, projek bantuan ternakan ikan dalam sangkar, peningkatan elaun sara hidup Nelayan dan beberapa bantuan yang lain sedikit sebanyak dapat membantu golongan berpendapatan rendah ini meneruskan kehidupan.

Sejumlah RM5.65 juta diperuntukkan untuk tujuan program pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak sedikit sebanyak akan meningkatkan pendapatan mereka daripada memperoleh pendapatan rendah kepada pendapatan sederhana tinggi.

Selain itu RM 18 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian dan RM 8 juta kepada Jabatan Veterinar bagi meningkatkan lagi kualiti dan tahap program pertanian kepada penggunaan teknologi moden bakal menaik taraf projek pertanian dan perladangan kepada para petani dan peladang di Selangor.

Air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh Kerajaan Negeri juga masih lagi diteruskan sedikit sebanyak mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup pada tahun ini.

Bagi yang berhasrat membeli rumah pula, harga serendah RM42,000 boleh didapati melalui Rumah Selangorku selain daripada bantuan sewa-beli, bantuan pinjaman serta beberapa bantuan perumahan yang lain.

Begitu juga dengan perkhidmatan percuma bas Smart Selangor di beberapa kawasan Bandar juga untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan tambang pengangkutan awam ini.

Dengan beberapa inisiatif Kerajaan Negeri ini mudah-mudahan dapat membantu rakyat Selangor dalam meneruskan liku-liku kehidupan yang penuh mencabar pada tahun ini.

Kerajaan negeri sentiasa komited membantu rakyat dalam menangani isu-isu kenaikan kos sara hidup.

Para menteri dan pemimpin Negara dibawah pentadbiran DS Najib sepatutnya melihat langkah-langkah Kerajaan Negeri Selangor ini wajar dicontohi dan bukannya semakin hari semakin menekan rakyat dengan menaikkan kos tertentu sehingga rakyat terbeban.

Sebagai sebuah Kerajaan sepatutnya kita perlu memberi solusi agar rakyat tidak terbeban disamping Negara mendapat manfaat.

Marilah sama-sama kita membangunkan Negeri Selangor yang kita kasihi ini. Mudah-mudahan Allah memberkati Negeri Selangor Darul Ehsan dan merahmati pemimpin, penduduk serta rakyat negeri ini.

Membangun SMART Selangor Yang Peduli

* Zaidy Abdul Talib adalah Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.