Categories
SELANGOR

RM5.6 juta tingkat ekonomi nelayan, petani dan penternak

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 FEB: Peruntukan RM5.65 juta untuk pembangunan ekonomi nelayan, petani dan penternak diharap membantu meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah kepada sederhana.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata RM18 juta diperuntukan kepada Jabatan Pertanian dan RM8 juta kepada Jabatan Veterinar bagi meningkatkan kualiti dan tahap program pertanian kepada penggunaan teknologi moden.

YB Zaidy sampaikan sumbangan bot dan enjin kepada nelayan (1)Katanya, dengan peruntukan terbabit ia bakal menaik taraf projek pertanian dan perladangan kepada petani dan peladang.

“Kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kenaikan tol dan tambang pengangkutan awam khususnya banyak berlaku di kalangan rakyat.

“Malahan kesan kenaikan tol dan pengangkutan awam mengakibatkan perbelanjaan isi rumah dalam kategori pengangkutan meningkat sehingga lebih 21 peratus.

Katanya, segala ditempuh rakyat mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan dibincangkan dalam memberi perkhidmatan terbaik.

“Bagi golongan petani, peladang, penternak dan nelayan mereka merupakan sebahagian rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan sebahagian mereka mempunyai pendapatan bawah RM1,000,” katanya dalam kenyataan.

Zaidy berharap melalui bantuan terbabit golongan nelayan dan akuakultur, projek bantuan ternakan ikan dalam sangkar sedikit sebanyak dapat membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan kehidupan.

“Air percuma 20 meter padu diberikan Kerajaan Negeri juga masih lagi diteruskan sedikit sebanyak mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup pada tahun ini.

“Bagi berhasrat membeli rumah, harga serendah RM42,000 boleh didapati melalui Rumah Selangorku selain bantuan sewa-beli, bantuan pinjaman serta perkhidmatan bas SMART Selangorku di beberapa kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu rakyat dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya melihat langkah Kerajaan Selangor ini dan wajar dicontohi dan bukannya menekan rakyat dengan menaikkan kos tertentu sehingga rakyat terbeban,” katanya.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.