Categories
SELANGOR

Seorang maut dihempap pokok, tiga cedera

SHAH ALAM 29 FEB: Seorang lelaki maut selepas dihempap pokok yang tumbang ketika dia dan tiga rakannya berteduh di sebuah pondok di kelab golf, Seksyen U1, Shah Alam petang semalam.

Pokok itu tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang.

Lim Tat Thuan, 68, beralamat di Subang Jaya, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian tulang rusuk, pinggang dan dada.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik Mohd Firdaus Zainudin berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian pada pukul 5.30 petang dan mengerahkan tujuh anggota dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

bomba 1“Mangsa dapat dikeluarkan dalam masa 15 minit selepas pokok yang menghempapnya dialihkan dengan menggunakan forklift,” katanya dipetik BERNAMA.

Katanya, tiga rakannya yang terdiri daripada lelaki tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Korea Selatan hanya cedera ringan.

“Mereka berempat berteduh di dalam pondok itu selepas bermain golf.

“Pada waktu itu, berlaku angin kencang dan hujan lebat sebelum sebatang pokok berhampiran tumbang dan menghempap pondok berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Klang untuk bedah siasat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.