Categories
SELANGOR

Bomba kena keluar dalam tempoh 60 saat

KLANG 9 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengadakan latihan simulasi operasi limpahan tumpahan minyak berskala besar di Stesen Shell, Jalan Haji Sirat di sini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Zamri Che Din berkata, latihan simulasi itu adalah untuk menguji tahap ketangkasan dan kecekapan anggota bomba termasuk mengguna peralatan menyelamat mangsa.

BOMBA“Semua anggota bagi komitmen yang baik. Sebaik terima panggilan kecemasan daripada pengusaha stesen minyak, pihak kami bergegas ke lokasi kejadian mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kredit juga wajar diberikan kepada pengusaha stesen minyak kawasan ini yang menunjukkan kesungguhan sepanjang latihan termasuk memastikan langkah-langkah keselamatan diutamakan,” katanya selepas Majlis Perasmian Bomba Komuniti Shell Peringkat Negeri Selangor, semalam.

Zamri berkata, latihan simulasi itu melibatkan 30 anggota, dua jentera bomba dan satu kenderaan Unit Komander (kenderaan yang membawa peralatan menyelamat).

Katanya lagi, latihan yang dirancang kira-kira sebulan lalu bersama pihak Shell bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran anggota bagi mencapai ‘masa bertindak’ mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Anggota perlu keluar dari balai dalam tempoh 60 saat sejurus terima panggilan kecemasan,” katanya.

Turut hadir, Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul dan Timbalan Pengurus Bahagian Tengah Shell, Juchin Ong Chin Hai.

Sementara itu, pihaknya menyasarkan mewujudkan 320 bomba komuniti di seluruh Selangor pada tahun ini.

“Sehingga Disember 2015, sudah ada 126 pasukan bomba komuniti dengan 2254 ahli dan tambahan kepada sembilan pasukan pada Januari dan Februari 2016,” katanya dipetik Facebook Bomba Dan Penyelamat Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.