Categories
SELANGOR

Cub Prix: Format kelayakan kategori Wira ditukar, lebih mencabar

SHAH ALAM 9 MAC: Pelumba kategori Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berhadapan cabaran baru apabila kedudukan grid perlumbaan akhir menggunakan sistem kelayakan ‘Shoot-Out’ bermula pusingan pertama.

Pengarah Safe AIM Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg, berkata sebelum ini kedudukan grid perlumbaan akhir kategori Wira menggunakan sesi kedudukan pelumba dalam sesi saringan.

Namun bagi menjadikan saingan lebih kompetitif, pelumba Wira bakal menjalani sesi kelayakan Shoot Out seperti digunakan bagi kategori CP115.

Cub PrixKatanya, pengenalan sesi Shoot Out dalam kategori khusus kepada pelumba berusia 13 hingga 17 tahun ini menyaksikan lima pelumba terbaik dari setiap kumpulan dalam sesi ujian masa akan layak ke sesi Shoot Out bagi menentukan kedudukan petak mula perlumbaan akhir.

“Perlumbaan Wira merupakan kelas awal untuk pelumba muda beraksi dalam kejuaraan ini. Disebabkan mereka kurang berpengalaman, jadi kami perlu memberikan lebih banyak sesi saringan untuk mereka menghadapi sebarang tekanan sewaktu berlumba.

“Bagaimanapun, kejayaan siri satu pengeluar dikendalikan pengeluar jentera merubah situasi perlumbaan. Pelumba Wira kebanyakannya datang daripada kelas satu pengeluar dan mempunyai pengalaman berlumba.

“Jadi sesi saringan diguna pakai sebelum ini tidak lagi sesuai. Dengan memperkenalkan sesi Shoot Out ini, pelumba cuba mendapatkan aksi terbaik setiap kali mereka berada di litar,” katanya.

Perlumbaan itu bakal diadakan di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini.

Peminat sukan permotoran boleh menyaksikan perlumbaan secara percuma di Litar Maeps yang menyajikan cabaran berbeza dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix.

Litar sepanjang 1.110km ini mempunyai laluan lurus panjang dan berbukit serta beberapa selekoh sempit dan mencabar.

“Pelumba baru semakin bertambah setiap tahun. Momentum sukan permotoran berterusan meskipun terdapat pelbagai halangan dan cabaran,” kata Ron.

Parkir dan masuk adalah percuma kepada pengunjung Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.