Categories
NASIONAL

Deklarasi suara rakyat mahu perubahan

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MAC: Perhimpuan Kongres Rakyat 2016 diadakan mencatat sejarah dengan pelbagai pemimpin dan pihak dari latar belakang berbeza bersatu hati menyatakan bantahan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata belum pernah berlaku peristiwa sebegitu sebelumnya dan Deklarasi Rakyat dimeterai petanda kebangkitan rakyat yang tidak ingin melihat negara terus dirosakkan.

Deklarasi rakyatKatanya, ianya adalah suara rakyat Malaysia dan bukannya deklarasi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang seperti dimomokkan kerajaan Umno-BN.

“Saya ingin memberi peringatan kepada Najib dan Rosmah, jangan kamu berdua bermusuh dengan rakyat, jangan bermusuh dengan Kit Siang, jangan bermusuh dengan Tun Dr Mahathir dan jangan sekali-kali bermusuh dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perhimpunan ini ibarat pelangi dan berwarna-warni, kita mempunyai jalur masing-masing dengan idealogi perjuangan politik berbeza tetapi apa menyatukan kita ialah semangat patriotisme, semangat kecintaan kepada tanahair dan komitmen untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Kongres Rakyat 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Kongres terbabit dihadiri ramai pemimpin utama termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan sebagainya.

Menteri Besar Selangor itu berkata, Najib berada dalam keadaan bimbang dan takut kehilangan kuasa sehingga berlaku salah guna kuasa termasuk siasatan terhadap beberapa kes dijalankan tidak mengikut lunas undang-undang.
“Apakah perlu deklarasi ini kalau siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan secara bebas terhadap kes wang derma RM2.6 bilion?

“Jangan ugut pegawai, jangan tekan pegawai, jangan tukar pegawai…lawan Umno, lawan Najib, lawan kerakusan yang berlaku di Putrajaya,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.