Categories
SELANGOR

HIJRAH: 11,673 wanita terima manfaat, lebar perniagaan

KAJANG, 9 MAC : Sehingga ke hari ini, HIJRAH Selangor merekodkan 67 peratus usahawan dalam kalangan wanita iaitu 11,673 sudah menyertai dan menerima manfaat program.

Timbalan Ketua Pengurus Operasi HIJRAH, Normaiza Yahya, berkata keterlibatan usahawanita dalam industri makanan, jahitan, penjagaan kecantikan dan peruncitan itu bertepatan dengan matlamat Kerajaan Negeri membela dan menaikkan martabat wanita.

Katanya, statistik itu membutikan komitmen tinggi wanita memanfaatkan peluang dalam perdagangan, industri dan pembangunan ekonomi.

“Golongan wanita perlu terus diberi galakan terutamanya kepada mereka yang berusaha keras meneruskan kelangsungan hidup dengan menjadikan bidang perniagaan sebagai punca utama pendapatan.

“Untuk itu, HIJRAH menjalankan taklimat penerangan berterusan sebagai galakan dan hebahan kepada usahawan dan peniaga kecil ini,” katanya.

Usahawan HIJRAH, Mas Idayu Marzuki, 40, mengakui program itu banyak memberi manfaat terutama dalam menyalurkan modal pusingan pinjaman tidak membebankan.

Mas Idayu Marzuki“Dahulu saya kekurangan peralatan dan modal pusingan agak terhad. Dengan adanya pinjaman HIJRAH, saya dapat memperbaiki strategi pemasaran perniagan dan
mempelbagaikan juadah masakan.

“Alhamdulillah, hasil jualan pun makin meningkat,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan makanan.

Sementara itu, Pengusaha barangan kosmetik dan pakaian kanak-kanak, Adawiyah Yusmy A.Wahab, berkata program itu membuka peluang kepada golongan wanita untuk maju setanding lelaki dalam bidang keusahawanan yang diceburi.

Adawiyah Yusmy“Landasan terbaik dalam membantu usahawan ingin mendapatkan sokongan bantuan perniagaan dalam bentuk pinjaman, jaringan perniagaan dan sokongan moral untuk mengembangkan perniagaan ” katanya yang kini memiliki tiga kiosk barangan kosmetik, pakaian kanak-kanak dan kasut di Metropoint Kajang.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.