Categories
SELANGOR

HIJRAH disaran wujud mekanisma bantu OKU berniaga

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 27 MAC: Program HIJRAH dicadangkan mewujudkan mekanisma khas membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) yang berminat menceburkan diri dalam perniagaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata
mekanisma khas itu perlu diwujudkan bagi membantu golongan itu berdikari menyara kehidupan dan keluarga.

HIJRAH SELANGOR“Saya ada berjumpa ramai orang dan ramai berminat termasuk golongan OKU menyertai HIJRAH. HIJRAH ini membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Saya kira, kita perlu bantu golongan OKU dengan bagi mereka peluang lebih luas.

“Mungkin konsultan boleh bagi idea bagaimana kita boleh bantu kerana ramai antara mereka hendak berniaga tetapi tidak ada jalan atau tidak tahu bagaimana disebabkan keadaan mereka.

“Mungkin kita boleh berkerjasama dengan persatuan OKU. Saya percaya konsultan ada idea untuk laksanakan idea ini,” kata Mohd Khairuddin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Komunikasi Efektif Usahawan HIJRAH di Akademi Hevea, di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, idea itu lebih mudah direalisasikan sekiranya HIJRAH menjalin kerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) berkaitan golongan OKU bagi mewujudkan ‘fast track’ khas untuk mereka.

“HIJRAH boleh tandatangan memorandum persefahaman (MoU) dengan NGO OKU di Selangor dan NGO terbabit juga boleh merancang jenis perniagaan untuk tambah pendapatan keluarga OKU ini.

“NGO ini juga boleh membantu dengan memastikan ahli mereka bayar pinjaman ikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa ini, walaupun Kerajaan Negeri menawarkan Skim Pinjaman HIJRAH kepada semua golongan tetapi tidak terdapat skim khas untuk golongan OKU untuk membuat pinjaman.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.