Categories
KENYATAAN MEDIA

Hukuman penjara dua tahun ke atas Yahya Sahri

OLEH : RAFIZI RAMLI

Mahkamah Rayuan pada hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan ke atas Haji Yahya Sahri, Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN dan Ketua Cabang KEADILAN Tanjung Karang atas pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu “menipu dan mempengaruhi pemberian secara tidak jujur”.

Haji Yahya pada mulanya didapati tidak bersalah di Mahkamah Sesyen. Kamar Peguam Negara kemudiannya terus membuat rayuan hingga ke Mahkamah Rayuan pada hari ini untuk mensabitkan beliau dengan kesalahan.

yahya-shari-01Beliau ditahan berhubung derma RM50,000 yang diberikan oleh Datuk Abdul Karim Munisar kepada Sekretariat Penganjuran 100-Hari Pakatan Rakyat dalam tahun 2008.

Penahanan beliau adalah sebahagian dari siri pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dibawa pihak berkuasa terhadap pimpinan Pakatan Rakyat dalam tahun pertama PR berkuasa di Selangor; termasuklah penahanan Teoh Beng Hock dan kes rasuah pemberian lembu melibatkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Semua kes-kes lain tidak disabitkan dengan tuduhan.

Saya merujuk kepada pembelaan peguambela Manjeet Singh Dhillon yang mengutarakan hujah-hujah berikut yang diketepikan oleh Mahkamah Rayuan:

1. Penderma dikenalpasti dan telah memberi keterangan di dalam mahkamah bahawa beliau menderma dengan rela hati.

2. Derma RM50,000 dimasukkan ke akaun parti.

3. Tujuan derma dikenalpasti dan dibelanjakan bagi tujuan itu.

4. Satu sen pun dari RM50,000 itu dibelanjakan oleh Haji Yahya Sahri secara peribadi.

Sudah tentu, rakyat akan menjadi hakim kepada hakim-hakim di Putrajaya apabila mereka membandingkan bagaimana Haji Yahya dihukum dua tahun penjara sedangkan pada masa yang sama, tidak ada sebarang usaha pun untuk mendakwa Dato’ Seri Najib Tun Razak apabila “derma” RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi beliau.

KEADILAN akan membincangkan dengan lebih terperinci langkah seterusnya untuk membela nasib Haji Yahya Sahri.

Saya juga mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan bahawa pihak berkuasa akan mengambil pendekatan lebih keras selepas ini termasuklah memenjarakan ahli-ahli parlimen dan pemimpin Pakatan Harapan yang berdepan dengan pelbagai kes mahkamah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.