Categories
SELANGOR

Keberkesanan penanaman padi lima kali dua tahun dikaji

OLEH : HAFIZAN TAIB

TANJONG KARANG, 21 MAC: Projek penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di Selangor sudah dimulakan dengan kajian susulan dijalankan bagi menilai keberkesanannya.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata masih terlalu awal membuat rumusan bagi usaha itu dan ia hanya menampakkan kesan apabila mencapai musim kelima.

PADI“Sekarang masih pada peringkat ketiga iaitu sudah masuk tahap kedua dan kita nak menanam untuk musim ketiga.

“Kita tidak mahu terlalu awal memberikan rumusan, biar habis tempoh lima musim baru boleh dibuat konklusi apa sepatutnya dilakukan untuk akan datang,” katanya kepada media di sini, semalam.

Projek penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun adalah antara usaha dijalankan bagi menampung permintaan tinggi pasaran dan meningkatkan pendapatan pesawah.

Berhubung perkara itu, beliau berkata, secara purata pengeluaran hasil padi di Selangor mencatat purata 6.15 tan metrik berbanding purata di peringkat nasional 4.5 tan metrik.

“Kita jauh ke hadapan malah ada di kalangan pesawah di negeri ini yang mencapai 10 tan metrik maka fokus kita ketika ini kepada golongan pesawah yang mendapat hasil kurang daripada itu.

“Kerana itu kita latih dan galakkan mereka menggunakan baja ‘natural farming’ untuk jangka masa panjang supaya mampu meningkatkan hasil,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.