Categories
SELANGOR

Kembar siam tak sabar sambung belajar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 3 MAC: Pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli tidak sabar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) apabila memperolehi keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka hari ini.

Bagaimanapun Muhammad yang berminat dalam jurusan Teknologi Maklumat (IT) berkata, mereka perlu menunggu kaki palsu baru mereka disiapkan terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan hasrat itu.

“Alhamdullilah, saya tak jangka keputusan yang saya dapat ini walaupun tidaklah cemerlang tetapi saya bangga dengan keputusan ini.

Kembar siam“Kalau boleh nak sambung belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) sebab dekat sikit dengan rumah dan kami boleh dapat tajaan zakat,” kata Muhammad selepas menerima keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23 di sini, hari ini.

Ahmad pula berkata, antara ciri utama IPT yang menjadi pilihan mereka adalah IPT yang mempunyai banyak kemudahan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Setakat ini kami dah jumpa doktor di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk pemeriksaan buat kaki palsu baru dan kemudian baru kami pilih IPT mana yang kami pilih tetapi kami harap IPT itu nanti lebih mesra OKU,” kata Ahmad.

Bapa mereka, Rosli Abdul Rahim pula memberitahu, kaki palsu yang sedang dalam proses disiapkan itu menelan kos sebanyak RM12,000 sepasang.

“Saya sangat gembira walaupun mereka tidak dapat keputusan cemerlang tetapi tidak mengapa kerana mereka dah berusaha apa yang termampu, itulah rezeki mereka dan walaupun saya tidaklah berikan tekanan, saya tetap percaya mereka sendiri akan berusaha lebih gigih nanti.

“Mereka beritahu saya nak sambung belajar, jadi saya akan carilah mana tempat yang sesuai. Cuma sekarang mereka sibuk dengan temujanji rawatan dengan pihak hospital.

“Bila dapat kaki baru nanti, semoga mereka boleh berdikari. Kalau dia nak sambung belajar bila dah dapat kaki palsu nanti, kita galakkan dia sambung di IPT yang mesra OKU. Buat masa ini saya bagi mereka rehat dahulu untuk tunggu dapat kaki baru, selepas itu baru saya bagi mereka sambung belajar,” kata Rosli pula.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.