Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Komitmen dan keikhlasan prasyarat lakukan Reformasi

OLEH : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 3 MAC: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berpandangan sebarang cadangan atau usaha membentuk kerjasama antara Pembangkang bersama mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bergantung kepada sidang media esok.

Katanya, prasyarat utama dalam menjalankan kerjasama adalah komitmen dan keikhlasan terhadap melaksanakan reformasi.

Nurul-IzzahBaginya, kenyataan Mahathir yang ‘sudi’ berkongsi bersebelahan sel atau lokap dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan faktor mengejutkan.

“Pada saya mungkin faktor utama memberi kejutan kenyataan Tun Mahathir adalah beliau sudi berkongsi sel atau lokap dengan Anwar.

“Maka sebaiknya kita menanti sidang media esok secara rasmi apa sedang dicadang atau ditawar kerana pada saya sendiri premis atau prasyarat utama kita dalam menjalankan kerjasama adalah komitmen dan keikhlasan terhadap melaksanakan reformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi kerjasama antara Pembangkang dan Tun M susulan pertemuan tempoh hari.

Katanya, langkah konkrit diperlukan dalam melaksanakan reformasi dalam merungkai masalah dalam Malaysia.

“Isunya bukan isu peribadi, bukan dendam, bukan marah tetapi bagaimana nak merungkai permasalahan dan skandal yang melanda Malaysia menerusi langkah konkrit menjalankan serta melaksanakan reformasi,” katanya.

Sebelum ini, Tun M mengumumkan keluar daripada Umno sebagai protes kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.