Categories
SELANGOR

Pasar Agro Smart Selangor sasar ‘satu pasar, satu daerah’

OLEH : NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 24 MAC: Kerjaan Negeri menubuhkan Pasar Agro Smart Selangor dengan menyasarkan ‘satu pasar, satu daerah’ membabitkan kira-kira 900 peserta di seluruh negeri itu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata produk baru Kerajaan Negeri itu merupakan platform terbaik memacu pertumbuhan ekonomi peniaga setempat dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Katanya, kewujudan pasar itu membolehkan peniaga terlibat memasarkan hasil tani mereka secara terus kepada pengguna.

ZAIDY ARGO“Bertemakan ‘Segar, Murah dan Bersih’, kita bawakan pasar ini ke setiap kawasan supaya rakyat dapat merasai faedah dari Kerajaan Negeri dalam membantu mendapatkan hasil pertanian bermutu tinggi.

“Selain daripada aspek kualiti kesegaran, kita juga mahu ketulenan produk tempatan dengan memastikan ia dikeluarkan sendiri oleh usahawan agro setempat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Agro Smart Selangor di Gombak Setia, semalam.

Zaidy berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan kira-kira RM450,000 pelaburan dapat dijana menerusi kewujudkan pasar berkenaan.

PASAR ARGO SMART SELANGOR“Menerusi belanjawan negeri 2016, kita mahu menyuntik semangat rakyat dalam menjalankan aktiviti perniagaan jadi kita sentiasa memikirkan cara terbaik membantu rakyat.

“Ia juga mampu meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor pertanian Selangor tahun ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Zaidy berkata Kerajaan Negeri akan melihat kaedah sesuai membantu peniaga berkaitan permit perniagaan di kawasan Pasar Agro membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita cuba akan membantu mereka ini mendapatkan bantuan modal dari Kerajaan Negeri menerusi Hijrah, seminardan kursus sesuai selaras teknologi ketika ini supaya mereka dapat bersaing dan melangkah jauh menembusi pasaran antarabangsa kelak,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.