Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jualan barangan segar, murah di Taman Tasik Cyberjaya esok

SHAH ALAM, 25 FEB: Orang ramai dipelawa mendapatkan barangan segar dan murah pada program Selangor Agro Market (SAM), esok.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program jualan makanan keperluan harian itu diadakan di pekarangan Taman Tasik Cyberjaya bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Menerusi di Facebook, beliau memaklumkan, 30 pengunjung pertama juga bakal menerima sayur-sayuran secara percuma.

Sementara di ruangan komen pula Izham memberitahu, antara yang dijual termasuk daging lembu pada harga RM36 sekilogram, pelbagai jenis ikan RM10 dua kilogram dan tiga biji buah naga RM10.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyasarkan menambah jumlah lokasi SAM pada tahun ini dalam usaha membantu peniaga meningkatkan pendapatan.

Program SAM adalah kolaborasi Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sejak empat tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor.

Categories
SELANGOR

Petani sambut baik Pasar Agro Smart Selangor

OLEH : NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 24 MAC: Kewujudan Pasar Agro Smart Selangor membuktikan kerajaan Negeri komited terhadap usaha memajukan sektor pertanian khususnya industri kecil sederhana (IKS) sekaligus menjana ekonomi penduduk setempat.

Peniaga Sayuran, Zamzuri Adnan, 41, berkata produk pro rakyat terbaru itu membantu peniaga sepertinya khususnya penyediakan tapak niaga yang selesa.

Zamzuri Adnan“Kita sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Kerajaan Negeri kerana dengan inisiatif ini peniaga dapat banyak manfaat.

“Peniaga juga berpeluang mendapatkan modal dari Kerajaan Negeri dan bimbingan serta kursus yang berterusan ke arah pengeluaran hasil setempat yang berkualiti tinggi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata peniaga IKS juga berpeluang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih baik.

Bagi peniaga, Rodziah Wagini, 57, pula berpendapat ia merupakan peluang terbaik buat peniaga memasarkan produk mereka lebih dekat kepada pengguna.

Rodziah Wagini“Ramai peniaga yang masih tidak mengetahui bagaimana untuk memasarkan produk mereka. Jadi, dengan adanya Pasar Agro ini, peluang peniaga lebih cerah,” katanya.

Selain peniaga yang menerima manfaat, katanya, pembeli juga tidak ketinggalan untuk mendapatkan barangan yang dijamin kualiti pengeluarannya.

“Ini merupakan tempat terbaik bagi pembeli untuk mendapatkan sayur yang segar serta produk berkualiti keluaran anak tempatan sekaligus mampu menyihatkan tubuh badan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pasar Agro Smart Selangor sasar ‘satu pasar, satu daerah’

OLEH : NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 24 MAC: Kerjaan Negeri menubuhkan Pasar Agro Smart Selangor dengan menyasarkan ‘satu pasar, satu daerah’ membabitkan kira-kira 900 peserta di seluruh negeri itu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata produk baru Kerajaan Negeri itu merupakan platform terbaik memacu pertumbuhan ekonomi peniaga setempat dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Katanya, kewujudan pasar itu membolehkan peniaga terlibat memasarkan hasil tani mereka secara terus kepada pengguna.

ZAIDY ARGO“Bertemakan ‘Segar, Murah dan Bersih’, kita bawakan pasar ini ke setiap kawasan supaya rakyat dapat merasai faedah dari Kerajaan Negeri dalam membantu mendapatkan hasil pertanian bermutu tinggi.

“Selain daripada aspek kualiti kesegaran, kita juga mahu ketulenan produk tempatan dengan memastikan ia dikeluarkan sendiri oleh usahawan agro setempat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Agro Smart Selangor di Gombak Setia, semalam.

Zaidy berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan kira-kira RM450,000 pelaburan dapat dijana menerusi kewujudkan pasar berkenaan.

PASAR ARGO SMART SELANGOR“Menerusi belanjawan negeri 2016, kita mahu menyuntik semangat rakyat dalam menjalankan aktiviti perniagaan jadi kita sentiasa memikirkan cara terbaik membantu rakyat.

“Ia juga mampu meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor pertanian Selangor tahun ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Zaidy berkata Kerajaan Negeri akan melihat kaedah sesuai membantu peniaga berkaitan permit perniagaan di kawasan Pasar Agro membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita cuba akan membantu mereka ini mendapatkan bantuan modal dari Kerajaan Negeri menerusi Hijrah, seminardan kursus sesuai selaras teknologi ketika ini supaya mereka dapat bersaing dan melangkah jauh menembusi pasaran antarabangsa kelak,” katanya.

-nR-