Categories
SELANGOR

Selangor negeri pertama perkenal barisan pelumba Cub Prix

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 4 MAC: Selangor dijangka memberi saingan sengit pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim 2016 dengan membariskan lebih 10 pelumba yang merupakan anak jati negeri itu menerusi lapan pasukan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohd Zubir Idrus, berkata program yang julung-julung kali diadakan itu adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri melahirkan jaguh sukan negara dalam pelbagai bidang termasuk dalam arena sukan pemotoran.

“Belum ada Kerajaan Negeri lain ambil langkah seperti ini dengan mengadakan program memperkenalkan pelumba dan pasukan yang menyertai Cub Prix.

20160304_160439“Melalui program seperti ini, kita dapat mencungkil ramai bakat baru dalam sukan lumba motor dan sekaligus mampu membendung anak muda terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti lumba haram dan sebagainya,” kata Mohd Zubir.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim 2016, Pusingan Pertama dan memperkenalkan pasukan serta pelumba dari Selangor di Metro Point, Kajang di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan berusaha menyemarakkan sukan pemotoran di negeri itu dengan mengadakan program memperkenalkan pelumba Selangor bagi musim 2016.

Katanya lagi, pusingan pertama kejohanan bakal dilangsungkan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 12 – 13 Mac 2016 dan diikuti sembilan pusingan lain yang diadakan di seluruh negara.

Antara pasukan dan barisan pelumba Selangor yang hadir, Abd Muhaimin Roslan (Klang) dari pasukan Petronas Maju Motor, Mohamad Azhar Abdul Jalil (Klang), Muhammad Adib Rosley dan Mohamad Izzat Zaidi Salehan mewakili Motor Zeneos Yamaha YY Pang Racing.

Muhammad Zaqhwan Zaidi yang berasal dari Semenyih dan Sasitharen Sukumaran (Puchong) kedua-duanya dari pasukan Givi Honda Yuzy Racing dan Norizman Ismail (Banting) dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dan lain-lain turut hadir dalam majlis sama.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.