Categories
BERITA UTAMA

Pencarian MH370 selama 730 hari tanpa petunjuk

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

PENJEJAKAN pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 memasuki usia genap dua tahun. Daripada hampir 3,000 komponen pada pesawat itu hanya serpihan flaperon ditemui di Pulau La Reunion, wilayah kecil Perancis di Lautan Hindi pada 29 Julai tahun lepas.

Terbaru pada 6 Mac 2016, serpihan kedua dipercayai kemungkinan milik pesawat itu ditemui di pulau La Reunion oleh Johnny Begue ketika dia keluar berjoging di tepi pantai serta penemuan serpihan ditemui di pantai Mozambique yang masih dalam analisis.

Stealth MH370Dalam tempoh itu juga pencarian melibatkan pelbagai pihak antarabangsa yang menelan belanja ratusan juta menggunakan teknologi terkini masih belum menemui hasilnya.

Usaha pencarian pesawat menjangkau keluasan lebih daripada 85,000 kilometer persegi di dasar laut dan diteruskan sehingga Jun ini.

“Di manakah MH370 berada dan apa yang sebenarnya berlaku?”‎, persoalan itu masih kekal menjadi kejadian paling misteri dunia penerbangan antarabangsa selepas kehilangan juruterbang legenda, Amelia Earhart pada 1937.

Pesawat Boeing 777 Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Martin Dolan, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, dilaporkan berkata tanpa apa-apa petunjuk baharu, misi pencarian perlu berakhir pada kira-kira Jun, lebih kurang tiga bulan dari sekarang apabila empat buah kapal: Go Phoenix, Fugro Equator, Fugro Discovery dan Fugro Supporter dijangka selesai menjalankan pencarian di perairan dekat barat Australia.

Menurut Perkara 35 Konvensyen untuk Penyatuan Peraturan Tertentu bagi Pengangkutan Udara Antarabangsa (Konvensyen Montreal) 1999, hak untuk menuntut ganti rugi terhadap MAS akan terhapus jika tindakan tidak dikemukakan dalam tempoh dua tahun bemula dari tarikh pesawat sepatutnya tiba di Beijing, pada 8 Mac.

Imbau kembali apa yang berlaku?

“Good night Malaysian three-seven-zero” – Itu mesej terakhir dari pesawat MH370, seterusnya penerbangan kapal itu penuh misteri. Tidak diketahui dengan jelas ke manakah dan apakah yang berlaku selepas itu.

Penerbangan MH370 berlepas dari Kuala Lumpur pada 00:41 waktu tempatan. Pada 1:19, juruterbang atau pembantu juruterbang menghubungi kawalan trafik udara Malaysia. Pesawat itu kemudian menyeberang ke ruang udara Vietnam tetapi tidak pernah diperiksa di Vietnam dengan kawalan trafik udara.
Color MH370 location map.jpg.CROP.promovar-mediumlargeTransponder pesawat, yang menghantar kedudukan pesawat ke radar, ditutup.

Radar tentera Malaysia dan Thailand mengesan pesawat ke barat, dan kemudian menuju utara. Penerbangan MH370 kali terakhir dikesan oleh radar tentera Malaysia di 02:22, terbang di Laut Andaman.

Penerbangan MH 370 terus terbang selama hampir enam jam lebih, mengikut tujuh automatik “ping” dikesan oleh satelit. Penyiasat rasmi menggunakan data ini menganalisis dua laluan yang mungkin bagi kapal terbang: satu ke arah utara Kazakhstan, dan satu lagi ke selatan Lautan Hindi.

Dengan menggabungkan data satelit dan maklumat dari pesawat, mereka menganggarkan ia terbang laluan selatan, akhirnya kehabisan bahan api dan menjunam ke dalam Lautan selatan India.

Namun, kejadian sebenar tidak diketahui selagi tiada bukti dari kotak hitam dan bukti-bukti lain.

Masihkan ada harapan ditemui?

Keluarga mangsa MH370 pastinya menanti jawapan sebenar semenjak hari kehilangan. Pastinya hari mendatang juga masih dinanti sehingga serpihan utama MH370 ditemui.

Sayap MH370Pencarian mesti diteruskan walaupun mengambil masa lama. Kerana hanya dengan penemuan sahaja dapat merungkai misteri nasib pesawat itu dan lebih penting adalah pelajaran dan langkah diambil susulan tragedi itu.

Setiap tahun kira-kira 3.7 bilion penumpang menggunakan kapal terbang untuk pelbagai tujuan. Justeru dengan pencarian ini sangat penting bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku di masa hadapan.

Kertas putih siasat tragedi MH370

Adalah dicadangkan agar Kerajaan Persekutuan mengadakan kertas putih bagi menyiasat keseluruhan tragedi itu daripada pelbagai sudut.

Siasatan juga perlu diberikan perhatian berkenaan tindakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menghantar pesawat untuk memintas MH370 ketika mengubah haluannya secara tiba-tiba.

kotak-hitam-mh370Aspek keselamatan di lapangan terbang juga perlu diberi perhatian supaya tiada penerobosan elemen keganasan yang boleh mengancam industri penerbangan negara.

Kerajaan juga perlu bersuara dan memberikan jawapan tepat kepada keluarga mangsa serta membersihkan nama juruterbang pesawat berkenaan, Kapten Zahrie Shah yang dituduh sesetangah pihak sebagai dalang kepada kehilangan pesawat itu.

Badan antarabangsa juga perlu proaktif memperbaiki sistem penjejakan pesawat secara langsung di seluruh dunia. Kebergantungan siasatan kepada kotak hitam perlu diubah dengan teknologi lebih canggih, pantas dan tepat untuk memberikan analisis punca sesuatu tragedi.

Pelaporan kedudukan pesawat secara automatik juga membantu mengenalpasti kedudukan tepat jika berlaku sebarang kecemasan.Sistem perlu diperbaiki jika pesawat menemui kecelakaan seperti terhempas ia mampu memberikan reaksi pantas kepada badan pencari dan penyelamat untuk bergegas ke kawasan lokasi.

Diharapkan dengan kecanggihan era teknologi turut dimanfaatkan industri penerbangan bagi mengelakkan tragedi MH370 tidak ditemui sehingga kini menjadi pengajaran paling penting untuk dunia.

* MOHD EZLI MASHUT adalah Penolong Editor SelangorKini

Leave a Reply

Your email address will not be published.