Categories
SELANGOR

Peruntukan Selangor lebih tinggi dari JAKIM

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 MAC: Tuduhan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar kononnya Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghulurkan peruntukan lebih tinggi berbanding Kerajaan Selangor bagi membangunkan Islam di negeri itu disangkal.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM65 juta setahun bagi tujuan pembangunan Islam di Selangor berbanding JAKIM yang memperuntukkan RM37 juta setiap tahun.

yunuskhairi-web4“Kerajaan Negeri sangat berterima kasih Kerajaan Persekutuan memberikan sumbangan untuk bayaran elaun guru takmir, imam, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPDM) dan guru KAFA di Selangor. Ini semangat Federalisme yang patut kena faham.

“Bagaimanapun, Selangor memperuntukkan lebih untuk maksud sama termasuk melibatkan elaun guru KAFA yang mana dinaikkan kepada RM1,500 sebulan menyebabkan kenaikan peruntukan tahunan hampir RM20 juta.

“RM1,500 sebulan juga adalah elaun tertinggi guru-guru KAFA di Malaysia berbanding negeri lain,” katanya ketika dihubungi SelagorKini.

Yunus berkata, Kerajaan Negeri turut mewujudkan beberapa peruntukan khusus demi pembangunan Islam yang tidak pernah berlaku ketika era pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Antaranya, peruntukan Sekolah Agama Rakyat (SAR), RM6 juta setiap tahun, pembangunan empat buah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, peruntukan khidmat sokongan, keselamatan dan kebersihan, sekolah rendah agama dan sebagainya.

“Pada tahun ini juga diperuntukkan RM2.5 juta untuk pembinaan surau dan RM500,000 untuk baik pulih surau dan RM9 juta untuk pembangunan fizikal sekolah tahfiz swasta yang mana tidak pernah di peruntukan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Noh Omar menuduh Kerajaan Selangor meminggirkan golongan agamawan negeri itu dengan alasan enggan mengeluarkan peruntukan lebih tinggi berbanding Kerajaan Persekutuan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.