Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Wanita Sedunia Presiden KEADILAN

OLEH : DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Antarabangsa atau Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.

Pada tahun ini tema yang dipilih sempena Hari Wanita adalah “Kesepakatan Ikrar Demi Kesaksamaan” atau “Pledge for Parity. Iaitu suatu tema yang digariskan dengan hasrat untuk melonjakkan martabat wanita ke suatu tahap yang lebih tinggi, dinamik dan berdaya saing.

Hari ini wanita memainkan peranan penting dalam negara, institusi masyarakat dan keluarga. Ada yang menjadi Ketua Negara, pemimpin politik dan masyarakat, serta menjadi pemimpin tertinggi dalam pelbagai institusi di seluruh dunia.

Wanita hari ini sudah semakin bertapak di era kemajuan.

Menjadi tanggungjawab kepada kita semua, untuk melipatgandakan usaha pembelaan terhadap kaum wanita, menghapuskan penindasan, mengekang wanita daripada dijadikan menjadi mangsa diskriminasi dan penderaan.

wanitaPada zaman yang serba mencabar ini, sudah tentu para wanita lebih penting untuk menseimbangkan keluarga dari tekanan ekonomi dan sosial akibat pelbagai dasar ekonomi seperti GST, masalah pengangguran serta penularan gejala sosial yang tidak terkawal.

Dalam konteks Perayaan Hari Wanita, KEADILAN mahu semua rakyat mengiktiraf dan menghargai betapa pentingnya peranan surirumah yang menjadi menyumbang utama kepada perkembangan keluarga dan masyarakat.

Dari sudut agama, Islam meletakkan wanita di martabat yang tinggi dengan menyamakan balasan antara laki-laki dan perempuan, dengan asas iman, amal dan takwa, bukan harta dan kedudukan.

Firman Allah SWT, mafhumnya, “Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki maupun perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain.” (Surah Ali-Imran ayat 195).

Justeru, KEADILAN mengajak kaum wanita di seluruh dunia, supaya mengambil langkah pro-aktif, berganding bahu dengan kaum lelaki, agar dapat membentuk masyarakat madani yang ada jati diri dan mampu mengharungi cabaran semasa.

Kaum wanita haruslah mengambil iktibar daripada kesungguhan dan ketokohan pemimpin-pemimpin hebat seperti Saidatina Khadijah binti Khuwailid, iaitu sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad s.a.w lagi, sudah menjadi tokoh perniagaan yang berjaya.

Pada zaman mutakhir ini, antara tokoh wanita yang harus dicontohi adalah seorang Pahlawan Nasional dan juga tokoh insipasi wanita di Indonesia, iaitu Raden Adjeng Kartini.

Di India, mantan Perdana Menteri Indira Priyadarshini, merupakan anak dari Perdana Menteri India yang pertama Jawaharlal Nehru dan ibu dari Rajiv Gandhi, Indira Gandhi merupakan seorang wanita yang hebat mengharungi cabaran politik dalam parti dan negara.

Sehubungan itu KEADILAN berharap, bersempena dengan Hari Wanita Sedunia, golongan wanita tidak harus menoleh kebelakang lagi.

Wanita kini, bukan sekadar suri rumah atau duduk di belakang tabir sahaja, wanita adalah pembuat dasar, penentu hala tuju negara, pemimpin dan pembimbing masa depan anak bangsa.

Yang penting sekali, golongan wanita harus menanamkan iltizam bersama-sama dengan KEADILAN untuk menyelamatkan negara dari terjerumus ke lembah kemusnahan akibat kegagalan kepimpinan yang ada hari ini.

Selamat Hari Wanita 2016

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
8 Mac 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published.