Categories
BERITA UTAMA

Teks Ucapan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat

Teks Ucapan Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia SeriPaduka Baginda Yang Di Pertuan Agong

Oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Malaysia

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terang dan yang tersembunyi dalam hati-hati manusia.

Salam Selawat kepada Junjungan Besar Rasullullah dan Kekasih Allah, Nabi
Muhammad SAW, yang menjadi tauladan membawa Rahmat ke seluruh Alam.
Tan Sri Yang DiPertua,

Izinkan saya memulakan ucapan dengan satu peringatan untuk diri saya dan semua yang hadir di dalam Dewan Mulia ini tentang Kemulian seperti firman Allah swt mafhumnya;

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya
dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala
kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang
menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan),
dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa” (Surah Fathir: Ayat 10)

Wan AzizahTerlebih dahulu, saya melafazkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayahNya, saya selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua Pembangkang dengan penuh tanggungjawab berdiri di sini untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat parlimen ketiga belas 2016.

Saya mengucapkan terima kasih pada Tan Sri Yang Dipertua kerana memberikan kesempatan dan peluang pada saya untuk membahaskan usul tersebut.

Pada kesempatan ini juga, saya menyarankan usaha kerajaan diteruskan untuk mencari dan menyiasat sepenuhnya tragedi MH370 dan MH17 yang menyambut penuh sedih ulangtahun kedua tahun ini.

Tan Sri Yang DiPertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat yang dimuliakan,

TITAH NASIHAT YANG DIPERTUAN AGONG UNTUK SEMUA

1. Titah baginda Yang DiPertuan Agong yang dipetik, “Dalam negara demokrasi berpelembagaan, kita boleh berlainan pandangan. Raikanlah ruang tersebut namun bukan saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang akhirnya menjerumus negara kepada kehancuran.

Elakkan juga daripada memburukkan negara di mata masyarakat antarabangsa,” adalah satu nasihat yang cukup bermakna untuk mana-mana pihak.

2. Kami juga berterima kasih kerana memang sepatutnya wakil-wakil rakyat
yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk ‘berpolitik’ dalam
sistem demokrasi berparlimen juga mahu ‘politik sempit berubah menjadi
politik meluas’.

Luas dengan memperkukuhkan amalan demokrasi seperti pilihan raya bebas, institusi-institusi kenegaraan bebas, media bebas, sistemParlimen ditambahbaikan agar ‘ruang demokrasi yang lebih luas’ dapat kita
raikan bersama.

Parlimen3. Sudah pasti sebagai Payung kepada semua warganegara saranan itu kami
sambut kerana rakyat juga tidak mahu ‘bermusuhan dan fitnah-memfitnah’.

4. Justeru itu adalah menjadi satu keperluan utama untuk meredakan badai
syak wasangka fitnah mengenai ribut 1MDB, kami menjunjung kasih agar
tuanku akan memperkenankan ditubuhkan segera satu Suruhanjaya Siasatan
DiRaja dengan mandat seluasnya untuk menyiasat isu 1MDB termasuk isu
anak syarikat ketika itu, SRC International yang dikatakan terlibat dalam
pemberian sumbangan bersama derma kerajaan asing ke dalam akaun
peribadi Perdana Menteri untuk tujuan mempengaruhi pilihan raya umum ke-13.

Kami yakin pihak kerajaan juga sedia menyambut titah tuanku agar
fitnah-memfitnah dapat dihentikan dengan penubuhan suruhanjaya
tersebut.

5. Begitu juga kami menyambut baik titah tuanku agar, “Elakkan juga daripada memburukkan negara di mata masyarakat antarabangsa.” Justeru itu adalah amat membantu jika Perdana Menteri menyaman pihak media antarabangsa yang dikatakan terus memburukkan nama Perdana Menteri dan sekaligus kerajaan dan negara sehingga wujud siasatan di enam buah negara asing mengenai 1MDB.

Dengan menyaman Wall Street Journal di mahkamah dalam atau luar negara tanpa bertumpu kepada isu pampasan kewangan demi mempertahankan maruah negara di mata rakyat dan mata dunia antarabangsa.

6. Dengan tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan diRaja dan saman ke atas Wall
Street Journal juga akan memenuhi maksud tersurat lagi tersirat tuanku
agar kerajaan berusaha “menangani persepsi negative rakyat berkaitan
rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.”

Tan Sri Yang Dipertua,

7. Pada 7 Oktober 2015 yang lalu, Majlis Raja-raja melalui Pejabat Penyimpan
Mohor Raja-Raja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan akhbar dalam isu
1MDB. Dengan izin Tan Sri Yang Dipertua: “Berkenaan dengan isu 1MDB, jika
terbukti terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang,
kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap
pihak-pihak yang terlibat.

Semua pihak adalah bertanggungjawab untukmemberikan kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha dan maksudsiasatan tersebut mencapai kejayaan”.

Najib-WSJ-1MDB8. Bersandarkan kepada kenyataan ini, maka adalah terlalu awal dan
menambahkan pula persepsi buruk bagaimana kes RM 2.6 bilion kaitan
Perdana Menteri dilepaskan begitu sahaja oleh Peguam Negara, Tan Sri
Mohamad Apandi Ali pada 26 Januari 2016.

9. Rakyat musykil bagaimana penyiasatan rapi oleh SPRM selama 7 bulan boleh diketepikan begitu sahaja oleh Peguam Negara dengan bersandarkan alasan bahawa wang RM 2.6 bilion kepada YAB Pekan adalah sumbangan yang dikatakan daripada seorang putera Arab Saudi dengan dibersihkan Perdana Menteri daripada pertuduhan rasuah dan mengarahkan SPRM supaya
menutup penyiasatan terhadapnya.

10. Rentetan daripada itu, perkembangan maklumat dan laporan antarabangsa membuktikan sebaliknya dari apa yang dijelaskan oleh Peguam Negara.

11. Pada 5 Februari 2016, The New York Times dengan tajuk “ No End to
Scrutiny Over Millions Sent to Malaysian Leader’s Accounts” melaporkan
Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir memberitahu dalam satu wawancara
bahawa beliau tidak fikir wang RM 2.6 bilion datangnya dari kerajaan Arab
Saudi. Katanya lagi ia dipercayai dana untuk pelaburan di Malaysia dan
bukan derma politik.

12. Berdasarkan kepada laporan The New York Times 5 Februari 2016 tersebut jelas wujud percanggahan fakta dari kenyataan media Peguam Negara pada 26 Januari 2016.

13. Dalam kenyataannya disebut “dana yang dimasukkan ke dalam akaun YAB Pekan berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion) di antara tarikh 22.03.2013 dan 10.04.2013 adalah merupakan sumbangan peribadi kepada YAB Pekan daripada keluarga Diraja Arab Saudi”.

14. Pendirian saya ini adalah sejajar dengan aduan polis yang dikemukakan oleh bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim
terhadap Peguam Negara pada hari Rabu 2 Mac 2016.

15. Untuk rekod pada 5 Mac 2016, Malaysiakini melaporkan, bekas Ketua
Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain telah membuat laporan polis
terhadap Peguam Negara berhubung dengan isu derma.

Datuk Mat Zain dalam laporan polisnya mendakwa Peguam Negara disyaki telah“menyalahgunakan kuasanya, menyembunyikan maklumat, dan
menggunakan keterangan palsu” apabila membersihkan Perdana Menteri
daripada sebarang salah laku.

16. Pada 25 Februari 2016 saya telah mengemukakan usul di bawah Peraturan 27 (1), (2) dan (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan mencadangkan Dewan ini menerima usul secara ringkas bahawa ‘Peguam Negara Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Ali telah melanggar Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan mengarahkan SPRM menutup siasatan terhadap kes derma RM2.6 bilion dan mengambil maklum juga tindakan-tindakan Peguam Negara di atas telah menyebabkan hilang kepercayaan rakyat terhadap institusi peguam negara.

Justeru Dewan ini tidak ada kepercayaan terhadap Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Ali sebagai Peguam Negara’.

17. Usul itu telah saya kemukakan secara bersurat kepada Setiausaha Dewan
Rakyat pada 26 Februari 2016 dan telah diperakui penerimaannya. Saya
berharap Tan Sri Yang Dipertua, akan memberi pertimbangan terhadap usul
yang saya kemukakan agar ianya dapat dibahaskan dalam sesi persidangan
Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.

18. Pada 6 Februari 2016, Peguam Negara telah mengumumkan cadangan
bahawa Akta Rahsia Rasmi akan dipinda. Ini tidak lain dan tidak bukan
hanyalah bertujuan untuk menutup akses maklumat yang benar berkenaan
penyelewengan dan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan
Persekutuan pimpinan YAB Pekan.

Tan Sri Yang Dipertua,

19. Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa tindakan ini tidak akan
menjejaskan kerjasama yang menyeluruh membantu siasatan antarabangsa
melibatkan Peguam Negara Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom,
Hong Kong, Singapura daan Australia terhadap dakwaan rasuah (bribery),
penyelewengan dana (misappropriation of funds) dan pengubah wang haram
(money laundering) yang membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri.

20. Malangnya buat negara, 1MDB kini menjadi simbol hina yang memalukan
Negara di persada antarabangsa. Dengan izin, ‘1MDB is a symbol of national
disgrace in the eyes of the international community. 1MDB has emerged as
an international benchmark for illicit financial outflow and official
corruption in its most perfect form.’

21. Pada hari ini, Bloomberg Business melaporkan dalam laman web rasminya
dengan izin Tan Sri Yang Dipertua “Ex-Goldman Banker to Malaysia Fund
Subpoenaed in U.S. Probe” melaporkan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia
Tenggara Tim Leissner yang sebelum ini mengendalikan akaun-akaun yang
melibatkan bon 1MDB telah diberikan notis sepina oleh Unit Pengambilan
Semula Aset Kleptokrasi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Sepina itubertujuan untuk menyiasat sama ada dana yang telah digelapkan daripada 1MDB dan penglibatan beberapa pimpinan politik Malaysia itu telah
melanggar undang-undang Amerika Syarikat.

Tan Sri Yang DiPertua,

NEGARA DALAM KRISIS KEARAH NEGARA GAGAL?

22. Baginda turut bertitah, “Dalam negara demokrasi berpelembagaan, kita
boleh berlainan pandangan.” Justeru memberi pandangan suara rakyat
mesti didengar oleh pemerintah yang memikul amanah rakyat.

23. Malah pandangan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke 240 pada 17 Februari tahun ini yang meminta kerajaan memperhalusi semula Akta Majlis
Keselamatan Negara (MKN) telah diterima. Ini adalah apa yang rakyat juga
mahukan.

24. Selain itu pada pandangan kami sesungguhnya negara Malaysia yang kita
cintai sedang berada dalam krisis yang besar.

25. KRISIS NASIONAL yang terdiri dari Krisis Ekonomi, Krisis Politik, Krisis
Perlembagaan, Krisis Defisit Demokrasi, Krisis Defisit Perpaduan, Krisis
Defisit Keselamatan dan Krisis Defisit Kepercayaan; meletakkan hala-tuju
kita menjurus kepada sebuah negara yang gagal (failed state).

26. Apakah mungkin jawapan yang akan diberikan oleh kerajaan BN yang masih menafikan wujud KRISIS EKONOMI kepada beratus ribu rakyat yang sudah dibuang kerja dan graduan menganggur yang masih mencari kerja?

hutang27. Atau apakah jawapan kepada berjuta lagi yang menunggu jika akan turut
dibuang kerja ditambah pula dengan gaji mendatar pada tahap 34% dari
KDNK yang terpaksa berhutang menggunung paling tinggi menggunung
hutang isi rumah di Asia Tenggara melebihi 87% KDNK yang semata-mata
‘berkais pagi’ untuk menyara kos sara hidup yang tinggi dengan ditambah
beban GST, kadar tol lebuhraya yang meningkat, harga rumah yang tidak
mampu dimiliki dan tanggungan kesan jatuh merudum nilai matawang
ringgit? Kesenjangan pendapatan dan kekayaan kekal melebar.

28. Jika jawapannya adalah kerana semua ini adalah ‘luar kawalan kita’, maka jawapan yang sama akan diberikan bila ditanya mengapa ketirisan khazanah negara dan rasuah berakar sehingga negara dinobatkan menduduki tangga ke 54 Indeks Korupsi Antarabangsa Transparency International 2015?

Tan Sri Yang Dipertua,

29. Hutang kerajaan sekitar 53% KDNK tetapi bila ditambah jaminan dan
tanggungan hutang ‘contingent liability’ kerajaan ia sudah mencecah 70%
KDNK. Malangnya hutang ini juga akan ditanggung rakyat yang melihat orang
kaya bertambah kaya dan orang miskin papa kedana.

30. Atau jika jawapan punca KRISIS EKONOMI ini adalah ‘luar jangkaan’ kita,
maka segala nasihat dan amaran oleh Pembangkang agar dilaksanakan
Reformasi Ekonomi semenjak seawal tahun 2008 melalui Agenda Ekonomi
Malaysia dan teguran hala-tuju dan pendekatan berhemah untuk membina
daya upaya rakyat dalam penglibatan dan pembangunan ekonomi dalam
perbahasan belanjawan mahupun perbahasan RMK-10 dan RMK-11 tidak
diendahkan malah keutamaan diberikan kepada konsultan asing yang dibayar
beratus juta ringgit yuran dari APCO sehingga Pemandu yang kaya akronim
dari 1Malaysia, 1M4U, ETP, GTP, TTP, NTA dan 1MDB.

TPPA31. Kelulusan usul Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik atau TPPA yang setebal lebih 6,000 muka surat yang dirundingkan secara rahsia selama lima tahun pula yang diberikan masa hanya dua hari untuk dibaca, dibahas dan
diluluskan di Parlimen secara ‘express’ telah dicanang sebagai penyelamat
ekonomi negara nanti. Ini pula disamping pengakuan GST juga menjadi
penyelamat ekonomi negara.

32. Segala nasihat, teguran dan pandangan konstruktif dari rakyat, masyarakat madani dan pembangkang yang semuanya patriot sebagai pemilik bersama negara tidak diambil kira ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri tetapi sebaliknya bila menteri bercakap rakyat kena telan bulat-bulat. Ini bukan demokrasi tapi otokrasi sehala namanya.

33. Kerajaan juga mesti jelaskan apakah kesan sosial dan ekonomi kepada
rakyat dengan kemasukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh
memandangkan sudah ada lebih 2 juta pekerja asing tanpa permit dalam
negara; dan apakah status sebenarnya perjanjian antara kerajaan Malaysia
dan Bangladesh?

34. Justeru itu, saya menyokong gesaan MTUC agar ditubuhkan Suruhanjaya
Diraja Siasatan Pekerja Asing. Semakan semula dasar pengambilan pekerja
asing perlu dilakukan agar Malaysia tidak kekal menjadi negara lambakan
pekerja asing. Dasar pembangunan ekonomi Negara harus dikaji semula agar
tidak lagi melampau berorientasikan buruh tidak mahir sebaliknya ia harus
lebih berorientasikan pekerja tempatan berkemahiran tinggi.

Tan Sri Yang Dipertua,

35. Defisit Demokrasi dengan penggunaan berbagai undang-undang drakonian dan anti-demokratik seperti POTA, SOSMA, Akta Hasutan, OSA dan yang paling mencabul hak rakyat dan menimbulkan KRISIS PERLEMBAGAAN adalah apabila kedaulatan Yang DiPertuan Agong dalam Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) terjejas apabila kuasa luas diberi kepada Perdana Menteri yang mengatasi kuasa baginda tanpa wujud hak semakan perundangan atau ‘judicial review’ keatas cabang esekutif. Jika kuasa sudah melebihi Yang DiPertuan Agong dan proses perundangan mungkin ini dikatakan ibarat kuasa seorang Maharaja?

36. Justeru saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri jika pengumuman
darurat malah penangguhan pilihan raya adalah antara kemungkinan yang
bakal berlaku jika akta ini dikuatkuasakan? Lain tujuannya, lain gunanya
nanti.

37. Alhamdulillah, mujur rakyat masih dapat bernaung dibawah payung Raja
Berperlembagaan dengan titah agar Akta MKN yang diluluskan tergesa-gesa
diperhalusi. Namun, kita mengharap ia dibatal dan dimansuhkan sahaja.
Tan Sri Yang DiPertua dan ahli-ahli dewan yang dimuliakan,

PUNCA KRISIS NASIONAL SUDAH TERANG LAGI BERSULUH

38. Pemusatan Kuasa akibat Defisit Demokrasi adalah punca utama mengapa
negara dilanda berbilang KRISIS secara bertubi-tubi tanpa putus dan
nampaknya tanpa penghujung yang mungkin dinafikan kerajaan BN dengan
hujah-hujah yang hanya menyedapkan telinga mereka sahaja tetapi amat
dirasakan bahananya oleh rakyat jelata.

39. Sebuah negara dikatakan gagal apabila tidak memenuhi syarat-syarat
demokrasi tulen serta melanggar perjanjian ‘aqad-dun-daulah’ iaitu
perjanjian kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
yang secara amnya ‘menjanjikan hak rakyat dalam satu negara Demokratik
Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan’.

40. Oleh kerana kita mungkin mudah lupa, saya ingin memetik dari Deklarasi
Pemasyhuran Kemerdekaan Malaya 1957 dan Deklarasi Pembentukan
Malaysia 1963 yang dibaca oleh Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul
Rahman Putra al-Haj;

“Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan
Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad
baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu,
maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan
keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan
kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu
(Malaysia pada 1963) dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah
kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan
Demokrasi cara Parlimen.”

41. Negara adalah milik rakyat yang diamanahkan kepada pemerintah menjadi kerajaan dan bukan milik segelintir manusia yang lupa kepada perjanjian dalam Perlembagaan Persekutuan yang juga saya petik dari doa didalam perenggan akhir Deklarasi Permasyhuran Kemerdekaan;

“….dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi
sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan
dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan
kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

42. Apa yang diucapkan Bapa Kemerdekaan adalah benar. Ini janji kemerdekaan kepada semua warganegara.

43. Mana mungkin rakyat jemu untuk terus berjuang menuntut hak dan janji
kemerdekaan yang belum tertunai, masih tertangguh dan sekarang mungkin
sudah tergadai dengan perjanjian TPPA ala-Perjanjian Pangkor termasuk
akibat derma warga kerajaan asing dalam urusan pilihan raya dalam negara?

44. Justeru, para pemerintah yang diamanahkan atau dipinjamkan kuasa
memerintah mesti menunaikan semua perjanjian-perjanjian termasuk ‘Janji
Kemerdekaan’ seperti firman Allah mafhumnya, “Hai orang-orang yang
beriman, penuhilah aqad-aqad (perjanjian-perjanjian) itu….” (Surah Al
Maidah: Ayat 1)

45. Begitu juga kita diperingatkan oleh patriot negara Allahyarham
Dr.Burhanuddin Helmi tentang ‘Hak Rakyat’ dalam sebuah sajak yang
berbunyi;

Di atas runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka.
Bersatu-padulah seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.

46. Oleh demikian demi membela ‘hak keadilan pusaka’ saya ingin bertanya
kepada Perdana Menteri apabila ruang demokrasi disempitkan dengan
pilihan raya tidak bersih dengan dakwat kekal tidak kekal, media dibisukan,
kehilangan mandiri serta kebebasan institusi-institusi kenegaraan seperti
institusi kehakiman, pasukan polis, Bank Negara, SPRM, Pejabat Peguam
Negara dari pengaruh melampau cabang esekutif, apabila para patriot
dipenjarakan.

Malah apabila Tan Sri Speaker sendiri telah memohon agar adanya penambahbaikan sistem Parlimen; adakah semua ini memenuhi syarat sebuah negara demokratik tulen dan adakah ini semua menunaikan perjanjian kemerdekaan seperti termaktub dalam Deklarasi Permasyhuran
Kemerdekaan yang dibaca oleh Bapa Kemerdekaan pada 1957 dan 1963?

Tan Sri Yang DiPertua,

MUAFAKAT NASIONAL SELAMATKAN MALAYSIA

47. Kita semua wajib bersyukur, Alhamdulillah kerana pada detik ini satu
peluang besar wujud untuk semua warganegara Malaysia dari semua lapisan
masyarakat termasuk dari semua parti-parti dan fahaman politik tidak kira
dari dalam atau luar kerajaan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang
patriot untuk bukan sahaja ‘Selamatkan tetapi Membina Malaysia yang lebih
baik untuk Semua’.

48. Saat dan ketika ini Negara berada dalam persimpangan yang akan mencorak masa depan untuk anak-anak kita. Sejarah akan mencatatkan bagaimana kita berjaya ketepikan perbezaan demi melakarkan satu lembaran baru kenegaraan melalui satu MUAFAKAT NASIONAL yang akan mengumpulkan semua suara-suara rakyat untuk merangka satu KONSENSUS NASIONAL.

49. Daripada begitu banyak deklarasi-deklarasi suara rakyat-suara keramat
bermula dengan kedua-dua Deklarasi Permasyhuran Kemerdekaan 1957 dan
Malaysia 1963; Deklarasi Permatang Pauh 1998; Deklarasi Parlimen Rakyat
2008; Deklarasi Perisytiharaan Kuching 2012; Deklarasi Tujuh Kebebasan
Demi Negara 2015 dan terkini Deklarasi Rakyat 2016, maka aspirasi,
perjuangan dan tuntutan rakyat agar mempertahankan dan memperkukuhkan negara Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen
masih berterusan.

50. Deklarasi-deklarasi suara rakyat adalah suara keramat dan suara ‘buah
fikirian patriotik’ yang selaras dengan saranan tith baginda, “Berikanlah
contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam
melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan
kemakmuran negara yang berterusan”.

Tan Sri Yang Dipertua,

51. Kita mesti ada ‘political will’, ‘political courage’ dan ‘political conscience’
yang memerlukan kita jujur dan ikhlas menjadi ‘negarawan-negarawan’ atau
‘statesmen’ dan bukan ‘politikus-politikus’ kerana kita mahu merangka satu
Konsensus Nasional yang bersifat jangka panjang, luas dan kekal.

52. Kita mesti insaf kepada firman Allah mafhumnya; “….Sesungguhnya Allah
tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…”
(Surah ar-Rad: Ayat 11)

53. Kita mesti mengubah nada dan prinsip politik kenegaraan, kita mesti
mengubah segala prasangka, kita mesti mengubah mitos-mitos lapuk yang
memecah belahkan kita, kita mesti mengubah ketakutan, keraguan dan
keresahan antara kita; demi membina Malaysia yang lebih baik dan menjadi
contoh kepada dunia bahawa kita mampu melahirkan sebuah negara
demokratik yang berbilang bangsa dan agama; menjadi ‘dawlah mithali yang
berwasatiyah’ memberi harapan kepada bangsa negara lain ketika dunia
tidak sunyi dari sengketa bahawa semua manusia diseluruh dunia mampu
hidup dengan penuh maruah, aman dan adil.

54. Kesimpulannya, saya ingin mempertegaskan kembali tuntutan Deklarasi
Rakyat 2016 bahawa Malaysia perlu diselamatkan daripada malapetaka
kepincangan kepimpinan dibawah teraju Perdana Menteri sekarang. YAB
Pekan nyata gagal mentadbir Negara. Beliau perlu memikul tanggungjawab
atas skandal 1MDB yang sangat menjejaskan imej Malaysia.

Ini berlaku apabila terdapat pemusatan kuasa melampau kepada Perdana Menteri. Ia berlaku sebagai rentetan kegagalan institusi kewangan, institusi keadilan dan institusi penguatkuasaan dalam menjalankan tugas dengan bebas.

55. Tindakan-tindakan politik yang rakus yang berlaku sekarang hendaklah
dihentikan. Kerosakan institusi-institusi pemerintahan hendaklah dihentikan.

Rakyat tidak harus lagi dibiar terbeban dengan kegawatan ekonomi akibat
kelemahan dasar dan perancangan kerajaan yang berkuasa. Tuntutan
perubahan tidak dinafikan amat diperlukan.

Ini melibatkan reformasi institusi-institusi utama dalam Negara yang sudah parah dan retak di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri. Perubahan ini berhajat kepada peralihan kuasa yang bermakna.

56. Ia bukan sekadar peralihan bagi menggantikan Perdana Menteri semata-
mata tetapi ia berhajat kepada perubahan sistem secara menyeluruh agar
dikembalikan maruah dan hak rakyat yang gagah berdiri dalam sebuah
Negara yang merdeka lagi berdaulat.

57. Oleh demikian, saya mencadangkan – Pertama, diwujudkan satu Majlis
Permuafakatan Nasional yang melibatkan semua lapisan masyarakat untuk
mencari satu Konsensus Nasional Baru.

58. Kedua; saya juga mencadangkan agar satu Jawatankuasa Terpilih Parlimen diwujudkan untuk merangkakan satu AKTA JAMINAN DEMOKRASI yang akan menggariskan semua langkah-langkah perlu untuk reformasi dan
memperkukuhkan demokrasi dalam semua cabang kenegaraan serta semua
institusi-institusi berkaitan termasuk menjamin Pilihan Raya Bebas dan Adil
untuk dibentangkan dalam Parlimen dalam enam (6) bulan dari sekarang.

Penglibatan Majlis Permuafakatan Nasional juga menjadi syarat cadangan
untuk menggubal akta ini.

59. Saya yakin dengan kemampuan kerajaan menyeragamkan dengan kadar
pantas semua undang-undang agar selaras dengan perjanjian Perlembagaan
Persekutuan dalam AKTA JAMINAN DEMOKRASI yang dicadangkan seperti
mana pantasnya Usul menerima perjanjian TPPA termasuk usaha untuk
seragamkan 26 atau lebih undang-undang persekutuan dan negeri-negeri
agar selaras memenuhi tuntutan perjanjian TPPA akan dilaksanakan.

60. Ketiga; saya mencadangkan diwujudkan satu ‘Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasasi’ atau ‘Truth and Reconciliation Commission’; kerana untuk
negara bergerak maju kehadapan kita mesti menghadapi dan mencari jalan
perdamaian melalui ‘muhasabah’ tentang masa silam negara kita.

Ini adalah harga yang terlalu kecil untuk dibayar berbanding dengan harga besar dan berat yang akan kita hadapi jika hala tuju negara tidak berubah.

61. Keempat, adalah dimohon semua tahanan politik dan tahanan mangsa
konspirasi salah guna kuasa termasuk dengan tuduhan fitnah yang
mengaibkan yang dinafikan hak Qazaf diutamakan dibebaskan dengan izin
melalui Pengampunan DiRaja.

62. Dan kelima, dengan penuh rasa tanggungjawab dan kepedulian kepada
kehidupan rakyat yang semakin sukar, GST segera dimansuhkan.

63. Akhir sekali, saya mempertegaskan perubahan ini harus berlaku dalam
keadaan aman menurut perlembagaan dan undang-undang Negara.

Mensejajari itu saya menggesa ahli-ahli dewan bersama kami dalam usaha
perubahan tanpa membataskan ia sebagai agenda peribadi dan meletakkan
keutamaan mengembalikan karamah insaniah dan menyelamatkan Negara
Malaysia yang tercinta ini.

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum.

Leave a Reply

Your email address will not be published.