Categories
NASIONAL

Peserta red2green serah memo bantah pencemaran bauksit

KUALA LUMPUR 28 MAC: Selepas berjalan kaki sejauh 340 kilometer selama 17 hari akhirnya peserta kempen anti bauksit iaitu kumpulan #red2green tiba di pekarangan pagar utama Parlimen.

Kempen berjalan kaki itu bagi menyerahkan memorandum menuntut pelanjutan tempoh moratorium perlombongan bauksit sehingga wujudnya tatacara pengendalian piawaian bagi menjamin pencemaran sifar.

BauksitKira-kira 30 peserta mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk datang ke Parlimen dalam misi membawa memorandum rayuan menentang pencemaran itu.

Memetik Malaysiakini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang seharusnya melihat kesungguhan rakyat memperjuangkan hak menuntut alam sekitar yang bersih.

Memorandum kemudiannya diserahkan oleh Fuziah kepada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Mohd Nazif Jamaludin pada jam 10.45 pagi.

Berikut adalah memorandum berkenaan:

MEMORANDUM

PENDUDUK KUANTAN MENUNTUT PERLANJUTAN TEMPOH MORATORIUM PERLOMBONGAN BAUKSIT SEHINGGA WUJUDNYA SATU GARISPANDUAN (SOP) YANG KOMPREHENSIF DIMANA DAPAT DIJAMIN PENCEMARAN SIFAR

KEPADA :-

1. Datuk Seri Dr Wan Junaidi Wan Tuanku Jaafar. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
2. Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
3. Ahli-Ahli Parlimen Malaysia.

TARIKH : 28/3/2016

DISEDIAKAN OLEH: GABUNGAN MENENTANG PENCEMARAN BAUKSIT ‪#‎Red2Green‬

Tujuan:

Memorandum ini merupakan pernyataan semula dan bersama oleh semua ahli Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit dan penduduk Kuantan sebagai tanda melahirkan kesepakatan kami agar tempoh moratorium perlombongan bauksit dilanjutkan selepas ianya tamat pada 14 April 2016.

Penduduk Kuantan kini menghadapi masalah pencemaran kepada alam sekitar, udara yang dihidu, sumber air minuman serta keracunan hasil laut selain daripada masalah keselamatan awam yang berpunca daripada industri perlombongan bauksit yang tiada pengawasan dan peraturan yang sewajarnya serta tidak terkawal.

Laporan akhbar The New Straits Times pada 8 Oktober 2015 dan hasil kajian daripada 17 orang saintis dan ahli akademik melaporkan bahawa kadar pencemaran logam berat dan debu di tahap yang membimbangkan dikawasan sekitar Kuantan.

Isu perlombongan bauksit ini bukannya isu baru di Kuantan. Ianya sudah menjadi ibarat duri dalam daging penduduk Kuantan sejak hampir 2 tahun, dan sehingga hari ini masih belum selesai dalam kehidupan penduduk Kuantan. Lombong-lombong bauksit tinggalan yang masih belum dipulihkan adalah ibarat igauan ngeri bagi kami setiap hari.

Penduduk Kuantan tidak menolak sebarang pembangunan ekonomi namun begitu ianya perlulah seimbang dengan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta melindungi alam sekitar.

Setakat satu bulan setengah moratorium ini belum ada apa-apa langkah rehabilitasi dan pemulihan alam sekitar yang dilakukan dilombong-lombong bauksit yang ditinggalkan maka sewajarnya aktiviti perlombongan ini tidak harus dimulakan sebelum kawasan-kawasan yang telah dilombong dipulihkan semula.

Penduduk Kuantan mendapati bahawa kualiti hidup mereka telah meningkat sejak moratorium terhadap perlombongan bauksit ini dimulakan dari 15hb Februari 2016 yang lalu.

Kami tidak lagi perlu menyedut debu merah bauksit ke dalam paru-paru kami tatkala hari panas dan tidak perlu lagi menelan selut merah bauksit dikala hari hujan. Kami mahu ini berterusan!

Kami tidak lagi diancam ketakutan berlumba-lumba dengan lori bauksit besar yang tidak menghormati pengguna-pengguna jalan raya yang lain dan tidak mematuhi undang-undang jalanraya sehingga membahayakan nyawa dan kehidupan kami. Kami juga mahu ini berterusan!

Kami dapati ada peningkatan di dalam kualiti air sungai dan laut kami yang sudah tidak dicemari lumpur bauksit dari aktiviti perlombongan bauksit yang diberhentikan sementara, Tetapi kebimbangan kami terhadap ‘stockpile-stockpile’ yang belum dilupuskan masih tersisa kerana punca pencemaran yang masih ada dari kewujudan ‘stockpile-stockpile’ tersebut kini berterusan.

Bantahan kami bukanlah untuk menentang kerajaan, tetapi ianya lebih kepada menjaga kestabilan kawasan alam sekitar di kawasan, Balok, Bukit Goh, Gebeng dan Pelabuhan Kuantan yang mana adalah sangat berhampiran dengan kawasan penempatan dan mampu memberi impak negatif yang berterusan sekiranya ia dijalankan.

Kami pendududuk Kuantan bimbang sekiranya aktiviti perlombongan bauksit terus dijalankan, dikhuatiri bencana alam seperti banjir lumpur akan berlaku disamping pencemaran udara, sungai dan lautan yang telahpun berlaku.
Ramai nelayan perikanan di Balok , pertanian dan penternakan di Bukit Goh akan hilang sumber pencarian dan kuantiti serta kualiti air akan merosot bagi kegunaan rumah, sekaligus menjejaskan kesihatan penduduk!

Justeru itu, kami sebagai rakyat dan penduduk Kuantan menuntut :-

Tempoh moratorium perlombongan bauksit yang tamat tempoh pada 15 April 2016 dilanjutkan sehingga:

1. Satu kajian makro DEIA keatas semua lombong-lombong bauksit sedia ada diadakan sebelum kegiatan perlombongan ini dibenarkan beroperasi semula.

2. Satu garispanduan berkaitan industri bauksit , dari perlombongan hinggalah ke pengeksportan ke luar Negara perlu diujudkan untuk memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh penduduk Kuantan. Di sertakan satu garispanduan buat rujukan.

3. Kerajaan Malaysia memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti perlombongan bauksit untuk mengelakkan pencemaran .

4. Satu garispanduan ketat dan komprehensif diujudkan bagi mengelakkan pencemaran ke atas punca air minuman serta alam sekitar daripada terus berlaku.

5. Satu garispanduan diujudkan bagi memelihara dan membaikpulih alam sekitar yang telah tercemar akibat industri bauksit sebelum ini dan dimasa akan datang.

6. Parlimen Malaysia menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mengkaji impak industri bauksit ke atas manusia dan alam sekitar ; mengujudkan satu garispanduan serta undang-undang untuk mengawalselia industri bauksit di masa akan datang dan menggariskan langkah-langkah pemulihan ( rehabilitation ) ke atas alam sekitar yang sudahpun rosak akibat aktiviti perlombongan sebelum ini.

Serahan tangan oleh :

Pejalan-Pejalan Kaki #Red2Green
Mewakili Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.