Categories
SELANGOR

Raih peluang ceburi bidang pertanian dan penternakan

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Generasi muda disaran merebut peluang dengan menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi peluang pulangan lumayan.

Pengusaha Cili Fertigasi dan Madu Kelulut, Muhammad Syafiq Musa, 27, berkata beliau menceburi bidang pertanian hampir setahun di Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

“Seminar Agro Generasi Muda Selangor (GEMS) pada hari ini saya manfaatkan untuk menambah lagi ilmu tentang cara betul dalam sektor pertanian, peluang pemasaran terbuka dan teknologi terkini untuk mengembangkan lagi.

“Saya yakin bidang pertanian ini mampu mengubah nasib nasib anak muda jika mereka gigih berusaha dan tidak bergantung pada makan gaji.

“Matlamat saya apabila perniagaan dapat dikembangkan, saya ingin tarik anak muda bekerja bersama sama dan melihat sendiri peluang pertanian ini juga luas dan membuahkan hasil lumayan,” katanya kepada Selangor Kini sewaktu Seminar Agro GEMS di Carlton Holiday Hotel & Suites, Shah Alam, di sini hari ini.

Pekerja Swasta, Shamsul Anuar Awaluddin, 35, berkata melalui seminar anjuran Jawatan Kuasa Permodenan dan Industri Asas Tani Selangor itu beliau mendapat pendedahan lebih meluas tentang industri asa tani.

“Saya belum memulakan sebarang pertanian tetapi saya mempunyai sebidang tanah yang mungkin boleh saya usahakan, jadi saya ambil peluang untuk sertai seminar ini mencari apa pasaran di Selangor yang kurang dan boleh saya usahakan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Management and Science Universiti (MSU), Nawal Mohd Radzi, 22, berkata beliau bersama keluarga bercadang untuk mengusahakan tanah di kampung supaya dapat hasil yang boleh dimanfaatkan.

“Sebelum memulakan sebarang langkah awal pertanian, saya memerlukan ilmu yang cukup dalam bidang pertanian.

“Agro GEMS ini memberi kami peluang dan langkah yang betul untuk memulakan pertanian.

“Selain itu, saya bercadang membuka restoran makanan sendiri jadi dengan adanya penghasilan tanaman sendiri saya dapat menjaga kualiti makanan yang sihat memandangkan saya kini dalam jurusan kulinari,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.