Categories
NASIONAL

Rasuah lebih RM100 juta: Kementerian terlibat perlu jawab

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Menteri bertanggungjawab disaran tampil memberikan kenyataan bagi menjelaskan status sama ada kejadian penyelewengan berlaku secara berleluasa atau tidak di peringkat kementeriannya selepas pendedahan mengejutkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata saranan itu perlu memandangkan spekulasi kian diperkatakan kerana ia melibatkan penganjuran aktiviti dan penyelewengan lebih RM100 juta.

fahmi-PKR“Saya harap menteri yang menjaga kementerian itu boleh mengeluarkan kenyataan sama ada isu ini berleluasa dalam kementerian beliau atau insiden ‘one off’ kerana ramai yang bertanya dalam laporan media.

“Untuk menghentikan spekulasi dalam kalangan umum saya rasa eloklah menteri dalam kementerian itu mengeluarkan kenyataan untuk memberikan penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan seorang setiusaha bahagian sebuah kementerian yang disyaki terlibat dalam sindiket penyelewengan dana Kerajaan Persekutuan lebih RM100 juta.

SPRM menerusi laporan media hari ini menjelaskan individu itu disyaki menjadi ‘master mind’ dalam memberikan arahan kepada salah sebuah agensi kementerian untuk membuat bayaran kepada 14 syarikat kontraktor bagi tujuan menjayakan program yang tidak wujud.

Kekayaan luar biasa milik kakitangan itu mengejutkan ramai pihak dan SPRM tidak menolak kemungkinan ia sudah berlaku sejak sekian lama.

Fahmi berkata pihaknya mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap semua kementerian bagi membenteras aktiviti penyelewengan dan membawa mereka ke muka pengadilan jika terdapat unsur rasuah.

“Dialu-alukan tindakan SPRM menyiasat dan menangkap mereka yang didakwa terlibat dalam insiden rasuah seperti ini. Saya percaya ramai rakyat Malaysia mendambakan usaha SPRM untuk diteruskan tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.