Categories
NASIONAL

Mercu tanda ‘Kerinchi’ bakal didirikan

OLEH AFIX REDZUAN

BANGSAR, 30 JUN: Satu mercu tanda yang memaparkan sejarah kawasan Kerinchi bakal didirikan dengan kerjasama syarikat UOA Development dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang hujung tahun ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan dilaksanakan sebagai memenuhi janji kempen pilihan raya beliau yang sebelum ini mendapat reaksi positif daripada penduduk setempat.

Menurutnya, perbincangan masih dijalankan dan beliau berharap ia dapat direalisasikan dengan kerjasa semua pihak.

“Kita telah mencapai satu keputusan yang disifatkan situasi ‘menang-menang’. Kita akan menetapkan atau membina dua pintu gerbang bahawa mereka memasuki kawasan Kerinchi.

“Kita akan mengenalpasti kawasan sesuai dan lokasi sebenar bermulanya penempatan di Kerinchi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Kompleks Sukan Pantai Eco Park, Pantai Dalam.

Katanya, Pejabat Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama syarikat UOA Development juga bersedia untuk mencari dan menyaluarkan dana kepada NGO yang sesuai bagi melestarikan kembali sejarah Kerinchi yang difahamkan mula dibuka sejak 1880an.

Dalam membangkitkan lagi sejarah Kerinchi, satu festival kesenian yang dinamakan ‘Ini Kerinchi Lah’ akan turut dianjurkan.

Fahmi berkata, ia akan dianjurkan selepas pembinaan mercu tanda Kerinchi selesai.

Selain itu, dalam ucapannya turut dimaklumkan beliau telah mengemukakan beberapa permasalahan rakyat untuk diangkat pada sesi Dewan Rakyat akan datang disamping mencari penyelesaian kesesakan trafik di Taman Bukit Angkasa & Jalan Bangsar.

“Saya sebagai Ahli Parlimen yang buta warna, saya tetap mewakili anda semua di Lembah Pantai. Saya perlu bawa suara mereka ke Parlimen.

“Soalan yang dibangkitkan adalah berkaitan lif-lif projek perumahan rakyat, berkaitan status dan penyelenggaraan kerana sering dapat aduan daripada penduduk sekitar.

“Saya juga akan pertahankan isu anggota polis terutama berkaitan elaun dan kuarters kediaman mereka,” katanya.

Kemeriahan sambutan Aidilfitri peringkat Parlimen Lembah Pantai turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Fahmi turut mengambil kesempatan beramah mesra bersama pengunjung dan menyampaikan duit raya.

Categories
NASIONAL

BN tak perlu tolak soalan 1MDB, wajib keluarkan laporan terkini

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajib mengeluarkan laporan terkini berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen bagi memastikan Ahli Parlimen dapat mengesahkan sebarang kenyataan yang dibuat beliau adalah tepat.

FAHMIPengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga tidak wajar menolak sebaran soalan berkaitan skandal terbesar negara itu yang dikemukakan Ahli Parlimen.

“Daripada segi prinsip tatakelola dan urus tadbir kerajaan, perdana menteri wajib mengeluarkan laporan terkini negara berkenaan 1MDB dan Ahli Parlimen perlu diberi ruang untuk meneliti dokumen terbabit supaya ada proses semak serta imbang,

“Di situ, mereka boleh menyemak kenyataan yang dibuat perdana menteri untuk disahkan di Parlimen sendiri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, penjelasan Najib di Dewan Rakyat berhubung hutang yang dibayar 1MDB kepada beberapa pihak sama sekali tidak bermakna tiada kejadian salah laku dalam 1MDB.

Katanya, tindakan BN dalam skandal membabitkan puluhan bilion dana rakyat itu hanya menggambarkan usaha BN untuk menutup skandal itu daripada pengetahuan rakyat.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mana sumber dana RM3.3 bilion diguna 1MDB bayar hutang?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MAC: Jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah menjelaskan hutang bank dan jangka pendek berjumlah RM3.329 bilion daripada jumlah hutang keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM50 bilion menimbulkan persoalan baru.

FAHMIPengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Najib itu menyebabkan banyak pihak tertanya-tanya dari manakah sumber dana digunakan 1MDB untuk melangsaikan hutangnya itu.

“Saya percaya ramai yang tertanya dari mana datangnya wang. Semua maklumat terperinci berkenaan pembayaran hutang ini perlu dibentang dalam Parlimen berkenaan sumber dana, jumlah sebenar dibayar, senarai semua pemiutang dan adakah masih ada syarat lain yang perlu dipenuhi dalam pinjaman itu,” kata Fahmi ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, skandal 1MDB tidak boleh diselesaikan hanya dengan satu kenyataan ringkas Najib sebaliknya segala maklumat terperinci berkenaan hutang yang ditanggung 1MDB perlu dibentangkan di Parlimen.

Katanya, isu dasar yang perlu diselesaikan adalah masalah berkaitan tatakelola dan urus tadbir 1MDB apabila beberapa individu di luar negara diheret ke mahkamah di negara masing-masing selain pembayaran hutang yang penuh misteri itu.

Sebelum itu, Najib dalam jawapan bertulis di Parlimen memberitahu bayaran balik hutang 1MDB adalah seperti berikut:

1. Membayar penuh kemudahan kredit RM229.5 juta kepada Affin Bank pada 23 November 2015.

2. Menjelaskan sepenuhnya kredit siap sedia bernilai RM950 juta kepada kerajaan pada 31 Mac 2016.

3. Membayar balik kemudahan pinjaman berjangka RM2 bilion kepada Marstan Investment NV pada 8 April 2016.

4. Menjelaskan kemudahan pembiayaan berjangka AS$150 juta dengan EXIM Bank pada 15 April 2016.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta angka dikemas kini berkenaan kakitangan 1MDB, aliran tunai, hutang dan aset firma itu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bila ZAM ungkap ‘mampuslah Umno’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Reaksi bengang veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin terhadap parti itu kian terserlah apabila menghamburkan perkataan ‘mampus’ yang jelas menunjukkan parti ketuanan Melayu terbabit tidak akan berubah.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Mohd Fadzil berkata, pembangkang harus melipat gandakan penerangan kepada rakyat berkenaan pelbagai isu semasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi menyelamatkan Malaysia.

“Tan Sri Zam bukan calang-calang orangnya. Untuk seorang seperti beliau, mengeluarkan kata seperti itu di blognya menunjukkan betapa parahnya keadaan di dalam Umno.

FAHMI“Bagaimanapun, bagi saya kenyataan beliau tidak akan ke mana-mana terutama kerana pucuk pimpinan Umno sudah terlalu jauh terpisah daripada realiti kehidupan rakyat hari ini.

“Berapa ramai di antara pimpinan UMNO yang betul-betul tertekan akibat naiknya harga minyak mentah, barang dan parkir di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, semalam.

Katanya, kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang digambarkan Zainuddin bukanlah satu perkara baru tetapi perasaan itu sudah dirasai sekian lama dan semakin meningkat.

Terdahulu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan itu dalam blognya mendakwa sentimen anti Najib dan Rosmah sedang berada di kemuncaknya di seluruh negara, pada masa ini.

Katanya, sentimen itu dapat dirasakan di banyak tempat termasuk pejabat kerajaan, surau atau masjid terutama kedai mamak.

“Pengalaman memberitahu saya, walaupun kebangkitan anti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) hangat memuncak ketika rakyat menyokong reformasi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tetapi orang ramai tidak bersuara secara terbuka seperti sekarang yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

ZAM“Saya tidak perlu menambah cerita tentang sentimen anti Najib dan Rosmah yang panas memuncak di seluruh negara sekarang yang dapat kita cium, dengar dan lihat di mana juga kita pergi sama ada di pejabat kerajaan, di surau atau masjid, apatah lagi di kedai mamak,” kata Zainuddin.

Beliau juga menggesa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), polis cawangan khas, perisik tentera dan jentera Umno melaporkan kepada Najib secara jujur dan terus terang akan perasaan sebenar rakyat terhadap perdana menteri itu demi keselamatan Umno juga orang Melayu.

“Sekiranya maklum balas ini tidak mahu diterima orang Umno, BN dan pihak perisikan, maka konklusi saya ialah ‘nak mampus, mampuslah Umno’. Apa nak buat lagi, nasihat semua pihak yang ikhlas dan sayangkan Umno, tak dipedulikan,” katanya.

Zainuddin berkata, kempen memburukkan imej Tun Dr Mahathir juga mendorong kebencian dan kemarahan terhadap Najib semakin memuncak.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rasuah lebih RM100 juta: Kementerian terlibat perlu jawab

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Menteri bertanggungjawab disaran tampil memberikan kenyataan bagi menjelaskan status sama ada kejadian penyelewengan berlaku secara berleluasa atau tidak di peringkat kementeriannya selepas pendedahan mengejutkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata saranan itu perlu memandangkan spekulasi kian diperkatakan kerana ia melibatkan penganjuran aktiviti dan penyelewengan lebih RM100 juta.

fahmi-PKR“Saya harap menteri yang menjaga kementerian itu boleh mengeluarkan kenyataan sama ada isu ini berleluasa dalam kementerian beliau atau insiden ‘one off’ kerana ramai yang bertanya dalam laporan media.

“Untuk menghentikan spekulasi dalam kalangan umum saya rasa eloklah menteri dalam kementerian itu mengeluarkan kenyataan untuk memberikan penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan seorang setiusaha bahagian sebuah kementerian yang disyaki terlibat dalam sindiket penyelewengan dana Kerajaan Persekutuan lebih RM100 juta.

SPRM menerusi laporan media hari ini menjelaskan individu itu disyaki menjadi ‘master mind’ dalam memberikan arahan kepada salah sebuah agensi kementerian untuk membuat bayaran kepada 14 syarikat kontraktor bagi tujuan menjayakan program yang tidak wujud.

Kekayaan luar biasa milik kakitangan itu mengejutkan ramai pihak dan SPRM tidak menolak kemungkinan ia sudah berlaku sejak sekian lama.

Fahmi berkata pihaknya mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap semua kementerian bagi membenteras aktiviti penyelewengan dan membawa mereka ke muka pengadilan jika terdapat unsur rasuah.

“Dialu-alukan tindakan SPRM menyiasat dan menangkap mereka yang didakwa terlibat dalam insiden rasuah seperti ini. Saya percaya ramai rakyat Malaysia mendambakan usaha SPRM untuk diteruskan tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Bekas Presiden PMUM masuk KEADILAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Dua aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid diumumkan menyertai parti KEADILAN.

Mereka antara yang dikenakan tindakan oleh Universiti Malaya (UM) kerana menganjurkan program membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Oktober 2014.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, berkata kemasukan mereka mewakili suara anak muda yang dahagakan kebebasan di universiti.

Nurul-Izzah“Kami yakin, penyertaan Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli iisu politik dan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara amnya tanpa mengira agama atau warna kulit,” katanya memetik Malaysia Kini.

Fahmi, bekas presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) akan dilantik sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa KEADILAN dan Adam pula akan dilantik sebagai koordinator myChangeMakers.

Izzah turut mengingatkan berkenaan ‘balasan’ yang diterima UM daripada Barisan Nasional (BN) selepas menjadi satu-satunya universiti yang mendapat tempat dalam senarai 150 tapak pertama bagi Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings.

“UM menaiki lima tangga ke tempat ke-146 daripada tempat ke-151 pada 2014.

“Balasan kerajaan BN terhadap pencapaian UM adalah dengan memotong 27 peratus peruntukan untuk 2016 berbanding tahun lalu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hormati pemergian TGNA, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan ditunda

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 FEB: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat  yang dijadual  hari ini dibatal berikutan pemergian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hal itu berikutan kebanyakan pemimpin parti menghadiri majlis pengebumian dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Pulau Melaka, Kelantan, hari ini.

Fahmi“Kepada rakan media, harap maklum bahawa mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat esok (hari ini) ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi laman twitter.

Mesyuarat itu antara lain akan membincangkan beberapa perkara termasuk pengganti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disabitkan bersalah atas Kes Fitnah 2 oleh Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari lalu.

Mursyidul Am PAS berusia 84 tahun itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka,  jam 11 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya,  jam 9.40 malam semalam, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 orang anak iaitu lima lelaki serta lima perempuan.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

UMNO perlu mohon maaf kaum Melayu

Oleh: Fahmi Fadzil

Saban tahun, di ambang Perhimpunan Agung UMNO, akan berkumandanglah slogan-slogan seperti “Selamatkan Melayu!”, “Hidup Melayu!” dan yang sewaktu dengannya.

Namun, apabila kita diingatkan bahawa UMNO telah wujud selama hampir tujuh dekad dan telah meneraju kepimpinan negara sejak Merdeka, kita akan sedar bahawa di antara slogan yang dilaung dan realiti yang dihadapi sehari-hari wujud kesenjangan yang amat ketara.

Umno-Najib-Muhyidin-1Sewaktu pelancaran konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan pada 23 November 2014, DS Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengeluarkan statistik bahawa 200 tahun lalu orang Melayu memiliki 100% tanah di Kuala Lumpur, namun angka tersebut kini telah merudum ke 21.7%.

Beliau juga mengakui bahawa 90% daripada 42,000 orang penyewa unit rumah DBKL adalah orang Melayu, yang tidak mampu memiliki rumah di ibukota yang nilainya RM300,000 ke atas.

Apabila kita amati apa yang disebut Setiausaha Agung UMNO itu sendiri, adakah UMNO telah berjaya mempertahankan kepentingan dan masa depan orang Melayu, sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Malaysia amnya?

Atau adakah kepentingan dan masa depan satu kelompok orang Melayu elit sahaja yang dipertahankan? Dengan kata lain, Melayu mana yang di-“Selamatkan”?

Apabila kita baca angka-angka yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan sendiri, tidakkah kita akan bertanya: Apa yang telah UMNO lakukan sehingga nasib orang Melayu menjadi sebegini rupa?

Adakah orang Melayu semakin kukuh kedudukannya, atau adakah sekelompok “kawan-kawan rapat” pimpinan teratas parti itu yang semakin kukuh kedudukannya? Dengan kata lain, Melayu mana yang “Hidup”?

Sebagai seorang anak Melayu, yang mana arwah atuk dan nenek saya cukup kuat bergerak dengan pejuang-pejuang awal UMNO, saya sendiri bertanya: apa sudah jadi dengan UMNO hari ini? Jika arwah atuk dan nenek saya masih ada, adakah mereka akan kenal dan setuju dengan “perjuangan” yang diangkat di kala ini?

DS Hishammuddin Hussein ada berkata bahawa UMNO tidak perlu memohon maaf kerana mempertahankan isu-isu seperti agama Islam, kaum Melayu, dan raja-raja Melayu.

Tapi bagi saya, UMNO sebenarnya perlu memohon maaf kepada kaum Melayu sendiri, kerana parti itu seakan sudah tidak mampu memperjuangkan nasib orang Melayu. Buktinya ada pada apa yang disebut Tengku Adnan sendiri (dan beliau tidak menyentuh berapa peratus orang Melayu yang masih hidup dibawah paras kemiskinan).

Bagi saya, rubrik atau kerangka perkauman yang digunapakai UMNO sudah tidak mampu untuk menangani isu-isu dasar yang dihadapi bukan sahaja oleh satu kaum tetapi rakyat terbanyak.

Bagi saya, orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, dan semua yang cintakan Malaysia perlu mencari kerangka baru untuk mengolah dasar bersama yang lebih baik, lebih adil, lebih saksama bukan sahaja untuk sesuatu kaum, tetapi untuk memastikan di dalam setiap kaum itu kumpulan-kumpulan yang paling memerlukan akan menerima bantuan yang adil dan saksama.

Bagi saya, ungkapan atau retorik politik yang berteraskan ketakutan perlu diketepi demi mencari jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada masalah-masalah yang kita hadapi dewasa ini.

Kita tidak punya masa yang banyak. Hutang isi rumah makin bertambah (lebih 80% KDNK), hutang negara makin menggunung (hampir mencecah 55% KDNK).

Harga minyak mentah di pasaran dunia kian merudum; oleh kerana jualan minyak mentah mewakili 30% pendapatan kerajaan, satu langkah penyelesaian yang mampan untuk mengatasi isu ini perlu dicari dengan cepat (bagi saya, tidak bermoral jika pemerintah membebankan rakyat dengan cukai GST jika ratusan juta ringgit terus tiris).

Pada masa yang sama, elemen-elemen ekstremis terus berusaha untuk memecahbelah perpaduan dan mempersoal kemajmukan rakyat Malaysia; perpaduan dan kemajmukan ini bukanlah satu kemudaratan atau kelemahan, tetapi ia adalah aset kita untuk menjadi ‘thought leader’ yang mampu menetapkan ritma kepemimpinan di antara negara-negara ASEAN.

Tatkala Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, dan ketika Komuniti Ekonomi ASEAN bakal menjadi realiti, kita perlukan pimpinan parti-parti politik yang dapat menyatukan kita dan memberikan kita fokus dalam menghadapi perubahan dinamik geopolitik di rantau Asia Tenggara dan dunia amnya.

Kita perlukan pimpinan yang perjuangkan nasib rakyat terbanyak, dan mencari keadilan untuk semua kaum dan semua kelompok. Kita perlukan pimpinan yang akan berjuang untuk “Selamatkan” bukan sahaja satu kaum atau satu kelompok, tapi satu Malaysia.

Categories
NASIONAL

Fahmi jadi fobia baru pentadbiran kampus

SHAH ALAM 1 NOV: Selepas berjaya membawa masuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berpidato di dalam kampus Universiti Malaya (UM), Presiden Persatuan mahasiswa UM, Fahmi Zainol mula mendapat perhatian.

Beliau yang kini berhadapan sembilan pertuduhan oleh pentadbiran UM ekoran penganjuran pidato Anwar itu, juga mula ‘digeruni’ pihak pentadbiran universiti-universiti lain.

154518_10150629367474945_2213250527143109340_nSejak awal minggu lalu, beberapa universiti utama di Lembah Klang mula mengeluarkan arahan tidak membenarkan Fahmi masuk ke kampus mereka, dan melarang pelajar mereka menghadiri program bersamanya.

Menurut Fahmi, antara kampus terbabit termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Selepas tidak dibenarkan masuk di UIA, UKM dan UPM, kini tiba giliran UPSI pula menerima arahan perintah “terkurung”.

“InsyaAllah dalam esok malam ke USIM dan hari seterusnya ke UITM Shah Alam,” katanya di Facebook.

Semalam Jawatankuasa Disiplin Pelajar UM mengeluarkan surat tindakan tatatertib terhadap Fahmi ekoran perhimpunan bersama ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim awal minggu ini.

Surat itu juga memaklumkan bahawa Fahmi berdepan sembilan pertuduhan dan diminta hadir ke perbicaraan kes itu pada 7 November.

Berikut adalah pertuduhan yang dikenakan kepada beliau:

1. Menganjurkan satu perhimpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor.

2. Memanggil satu himpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor.

3. Menghadiri satu perhimpunan yang tidak dibenarkan universiti.

4. Menjalankan urusan yang “merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baiik universiti” di kampus.

5. Menjalankan urusan yang “merosakkan atau memudaratkan ketenteraman atau keselamatan awam, moral, kesopanan atau tatatertib” di kampus.

6. Melakukan perbuatan yang menyebabkan apa-apa halangan, kesulitan, kegusaran, kerugian atau kerosakan kepada mana-mana orang dalam universiti.

7. Memiliki alat pembesar suara atau alat-alat serupa tanpa kebenaran naib canselor.

8. Gagal mengikut arahan kakitangan atau pegawai universiti semasa perhimpunan.

9. Gagal mematuhi surat tunjuk sebab pada 23 Oktober.

Dipetik: Harakah Daily

Categories
NASIONAL

Blog ‘Negara Pakatan Rakyat’ bukan milik PR

Oleh : Lizawati Madfa,

SHAH ALAM 12 NOV : Pakatan Rakyat (PR) menafikan bahawa blog ‘Negara Pakatan Rakyat’ dikendalikan dan dimiliki oleh gabungan parti PKR, PAS dan DAP itu.

fahmi-fadzilPengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan mereka sama sekali tiada kaitan dengan pengendali blog itu, dan kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam laman berkenaan juga tidak melambangkan dasar atau pendirian politik parti-parti komponen PR.

Menurut beliau, PR tidak pernah mempunyai atau mengendalikan sebarang blog dan hanya mengendalikan laman sesawang pakatanrakyat.my.

“Artikel terbaru blog terbabit menyatakan kononnya PR ingin membela pembunuh pegawai Ambank, dan merupakan kenyataan sama yang pernah dibangkitkan blogger Papagomo terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran yang kemudiannya tampil membuat penafian.

“Kenyataan-kenyataan dalam entri yang keluarkan di blog Negara Pakatan Rakyat juga adalah fitnah semata-mata,” kata Fahmi ketika dihubungi Selangor Kini.

Fahmi berkata demikian bagi mengulas kemunculan blog Negara Pakatan Rakyat di alamat negarapakatanrakyat.blogspot.com yang sehingga kini mempunyai lebih 400 entri dengan 27 pengikut.

Entri terbaru yang bertajuk ‘Layanan Buruk Suspek Bunuh Ambank: Indonesia Perlu Kemuka Bantahan’ paling mendapat perhatian dengan respon tertinggi pembaca.

Terdapat banyak respon yang kecewa dan marah dengan entri berkenaan, namun terdapat juga pembaca yang sedar blog itu bukan milik PR selain mendakwa ianya didalangi ‘cybertrooper’ Umno.

Bagaimanapun, Fahmi berkata beliau tidak mahu menamakan mana-mana pihak sebagai dalang di sebalik usaha jahat dan terdesak dalam memburukkan imej PR itu.

“Sebelum ini wujud juga blog suarapakatanrakyat.com sehingga media Umno, Utusan menggunakannya sebagai bahan berita.

“Untuk kali ini jika ada lagi rujukan kepada blog berkenaan, maka kita boleh lah kata bahawa ianya digunakan media pro-Umno memburuk-burukkan imej PR,” kata Fahmi.

-EZY