Categories
KENYATAAN MEDIA

Selangor ambil langkah proaktif hadapi kekurangan bekalan air

OLEH : ZAIDY ABDUL TALIB

Fenomena El-Nino yang sedang melanda seluruh dunia memberi sedikit sebanyak kesan terhadap musim panas dan kering di beberapa kawasan di Malaysia.

Namun Jabatan Metereologi menjangkakan El-Nino yang berlaku sekarang akan berakhir pada Mac ini berikutan peralihan monsun pada April nanti.

Selangor antara negeri yang menerima kesan El-Nino menyebabkan peningkatan suhu yang tinggi sehingga mengakibatkan cuaca menjadi panas dan kering melanda di beberapa kawasan.

Namun Kerajaan Negeri sentiasa mengambil peduli akan masalah yang berlaku serta mengambil beberapa penilaian risiko bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan air.

ZaidyAntara langkah yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Negeri ialah menyediakan kolam-kolam alternatif di Lembangan Sungai Selangor yang mampu membekalkan sehingga 800 juta liter sehari (JLH) air mentah.

Sebahagian dari kolam-kolam ini sedang dijalankan pembinaan projek Hybrid off River Augmentation System atau singkatannya HORAS yang berperanan besar dalam mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber air mentah, sekali gus memberi jaminan bekalan air berterusan kepada lebih tujuh juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, projek pembenihan awan (cloud seeding) yang sentiasa dijalankan juga antara langkah Kerajaan Negeri memastikan bekalan air cukup bagi menampung keperluan air rakyat negeri ini.

Projek ini dilakukan di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air.

Namun begitu, Selangor masih mempunyai bekalan air yang cukup bahkan paras air empangan di tahap yang amat positif.

Sehingga 15 Mac 2016, kapasiti takungan semua empangan Negeri Selangor berada di dalam keadaan baik melebihi paras 70%. Berikut adalah status semasa kapasiti ketujuh-tujuh empangan Negeri terkini:

i. Empangan Sg. Selangor : 86.51%

ii. Empangan Sg. Tinggi : 88.21%

iii. Empangan Sg. Semenyih : 85.32%

iv. Empangan Sg. Langat : 70.16%

v. Empangan Batu : 83.36%

vi. Empangan Klang Gates : 80.98%

vii. Empangan Tasik Subang : 97.51%

Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi adalah merupakan empangan utama dalam pembekalan air di Negeri Selangor iaitu meliputi 60% daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berdasarkan rekod, penggunaan air per kapita bagi rakyat di Negeri Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.

Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pengguna supaya menjimatkan per kapita penggunaan air setiap isi rumah.

Ini adalah juga salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan bekalan air di Negeri Selangor pada masa akan datang.
* ZAIDY ABDUL TALIB adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Leave a Reply

Your email address will not be published.