Categories
SELANGOR

Selangor minat contohi pengurusan stadium Belanda

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MAC: Sistem pengurusan stadium bola sepak di Belanda yang efektif menarik minat Selangor untuk mengadaptasinya di stadium negeri itu.

Exco Generasi Muda, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata pendekatan digunakan di Stadium ADO Ven Haag dan Stadium Ajax Amsterdam memberi impak positif terhadap kehadiran pengunjung yang mungkin sesuai dicontohi.

SELANGOR BELANDA“Menariknya model kedua-dua stadium ini boleh diterjemah di Selangor kerana pemilikan stadium masih di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kelab menyewa stadium termasuk kemudahan lain seperti cafe dan pengurusan,” katanya kepada SelangorKini menerusi aplikasi whatsApp.

Amirudin dan rombongan ketika ini mengadakan lawatan ke Belanda sebagai sebahagian dari skop projek penambahbaikan sistem keselamatan Stadium Shah Alam.

Katanya, Stadium ADO Van Haag menggunakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) hampir sama dengan pemasangan di Stadium Shah Alam dan dalam tempoh sembilan tahun isu hooligan berjaya diatasi hingga ke tahap sifar apabila pengurusan stadium menggunakan sistem penjualan tiket disekalikan dengan penggunaan kamera.

SELANGOR BELANDA 1“Setakat ini hanya stadium terbabit di Belanda menggunakan sistem itu dan kita diberi penerangan secara keseluruhan pengurusan stadium termasuk bilik persalinan, peningkatan nilai komersial dan menjadikan stadium tempat yang kondusif kepada pengunjung.

“Rombongan kita juga melawat dan diberi taklimat pengurusan Stadium Ajax Amsterdam yang menerima kunjungan pelawat bukan dari kalangan penonton bola sepak seramai 100,000 setahun,” kata Pengurus Bola Sepak Selangor itu.

SELANGOR BELANDA 2SelangorKini difahamkan, rombongan Selangor turut berkesempatan melawat akademi bola sepak Ajax Amsterdam yang telah beroperasi lebih 20 tahun dan melahirkan ramai bintang seperti Dennis Bergkamp, Marc Overmas, Patrick Kluivert dan Edwin Van der Sar.

Dengan tersedia kemudahan lengkap, Amirudin menjelaskan konsep pengurusan akademi Ajax Amsterdam mampu melahirkan pemain bola sepak profesional tanpa mengabaikan aspek kognitif.

“Selain dari masa di padang, pelatih juga diperuntukkan masa untuk menyelesaikan kerja sekolah dan bimbingan psikologi.

“Kerana itu saya kira kadar keberhasilan produk mereka apabila pelatih mereka mampu menjadi pemain bawah 19 tahun Ajax Amsterdam dengan hampir 90 peratus akan jadi pemain profesional,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.