Categories
SELANGOR

Petani sambut baik Pasar Agro Smart Selangor

OLEH : NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 24 MAC: Kewujudan Pasar Agro Smart Selangor membuktikan kerajaan Negeri komited terhadap usaha memajukan sektor pertanian khususnya industri kecil sederhana (IKS) sekaligus menjana ekonomi penduduk setempat.

Peniaga Sayuran, Zamzuri Adnan, 41, berkata produk pro rakyat terbaru itu membantu peniaga sepertinya khususnya penyediakan tapak niaga yang selesa.

Zamzuri Adnan“Kita sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Kerajaan Negeri kerana dengan inisiatif ini peniaga dapat banyak manfaat.

“Peniaga juga berpeluang mendapatkan modal dari Kerajaan Negeri dan bimbingan serta kursus yang berterusan ke arah pengeluaran hasil setempat yang berkualiti tinggi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata peniaga IKS juga berpeluang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih baik.

Bagi peniaga, Rodziah Wagini, 57, pula berpendapat ia merupakan peluang terbaik buat peniaga memasarkan produk mereka lebih dekat kepada pengguna.

Rodziah Wagini“Ramai peniaga yang masih tidak mengetahui bagaimana untuk memasarkan produk mereka. Jadi, dengan adanya Pasar Agro ini, peluang peniaga lebih cerah,” katanya.

Selain peniaga yang menerima manfaat, katanya, pembeli juga tidak ketinggalan untuk mendapatkan barangan yang dijamin kualiti pengeluarannya.

“Ini merupakan tempat terbaik bagi pembeli untuk mendapatkan sayur yang segar serta produk berkualiti keluaran anak tempatan sekaligus mampu menyihatkan tubuh badan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.