Categories
SELANGOR

Selangor Smart Sewa, pupuk rakyat menabung beli rumah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 MAC : Rakyat yang menyewa rumah daripada Kerajaan Negeri bakal menerima sebahagian sewaan itu untuk digunakan bagi tujuan pembelian rumah peribadi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abadul Samad, berkata inisiatif itu termaktub di bawah Program Selangor Smart Sewa, dengan tujuan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (3)Katanya, skim berkenaan mampu membantu penyewa supaya tidak dibebani pelbagai bentuk faedah daripada pinjaman perumahan bank.

“Kerajaan Negeri memahami terdapat ramai daripada mereka tidak mempunyai pendapatan mencukupi mendapatkan pinjaman bank dan perlu menyewa rumah sehingga pendapatan mereka mencukupi.

“Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka membayar deposit untuk mendapatkan pinjaman perumahan dari bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang dalam proses membeli rumah mampu milik atau Rumah Selangorku untuk disewakan kepada rakyat.

Tambahnya, rumah itu akan diuruskan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sendirian Berhad (PHSSB), sebuah syarikat LPHS.

Skim itu merupakan lanjutan kepada tumpuan dasar kerajaan dalam melaksanakan program membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sempurna.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.