Categories
SELANGOR

Shah Alam dipilih jadi kampus baru Universiti Antarabangsa Al-Madinah

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Kampus baru bagi (MEDIU) kini menunggu kelulusan dari pihak terbabit untuk dibuka.

Ketua Pegawai Eksekutif MEDIU, Prof Dr Mohammad Khalifa Al Tamimi, berkata bangunan baru 14 tingkat itu terletak di Seksyen U1 Prima di Shah Alam.

MEDIU_AL-Madinah_University“Minggu lepas ia diputuskan namun kita menunggu kelulusan sepenuhnya dari pihak terbabit,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi komited menjalin pelaburan dalam sektor pendidikan dengan membangunkan Universiti Antarabangsa Al Madinah di Selangor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat terbabit dan ia sejajar dengan hasrat Belanjawan 2016 untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Pendidikan Serantau.

Khalifa berkata universiti itu kini mempunyai pelajar daripada lebih 80 negara yang memfokuskan pengajian pendidikan Islam, bahasa, pentadbiran, kewangan, pendidikan, teknologi maklumat dan kejuruteraan.

Katanya, daripada itu sebanyak 93 program terdiri daripada Diploma hingga Doktor Falsafah (PHD).

“Kita mempunyai tenaga pengajar daripada Jordan, Yaman, Al Azhar dan tempatan. Kebanyakannya terdiri daripada lepasan Mesir,” katanya.

Beliau menyifatkan pemilihan Shah Alam sebagai kampus MEDIU disebabkan persekitaran dan suasana tenang selain infrastruktur yang baik di negeri itu.

“Itu sebab kita pilih sini. Ia kerana negeri yang maju, persekitaran begitu istimewa dan berpotensi menjadi bandar ilmu selain prasarana baik.

“Pelajar kita juga berasa selesa berada di sini jadi kita memilih Shah Alam,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.