Categories
SELANGOR

MEDIU: Silibus dilulus MQA, pastikan patuhi peraturan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU) menegaskan silibus pembelajaran universiti terbabit diluluskan oleh akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MEDIU, Prof Dr Mohammad Khalifa Al Tamimi berkata Mediu tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti termasuklah pengajaran dikaitkan dengan penyebaran ajaran Syiah atau fahaman Wahabi.

MEDIU_AL-Madinah_UniversitySebaliknya, beliau berkata universiti terbabit berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diterapkan dalam 55 program yang ditawarkan di peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah (PhD).

“MEDIU bermula dengan membina sahsiah dengan menyebar agama Islam yang berpegang teguh pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sebelum kita memulakan operasi MEDIU, semua kursus ditawarkan kepada pelajar terlebih dahulu dibangunkan di bawah seliaan para ulama dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Kaherah.

“Selain itu, MEDIU sentiasa memastikan pihak pengurusan, pensyarah dan pelajarnya mematuhi semua undang-undang yang ada di negara dan negeri ini.

“Malah, kita sentiasa mewujudkan hubungan yang baik antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media, di pejabatnya, di sini.

Khalifa berkata pihaknya mengalukan-alukan sekiranya ada pihak yang meragui silibus Universiti itu untuk melihat atau mengkaji pembelajarannya.

Katanya, pemantauan pembelajaran menerusi online dan rakaman tidak menimbulkan isu kerana ia dapat diakses melalui sistem yang digunapakai.

“Kita bersifat telus, pihak kami bersedia mendedahkan silibus pada mana-mana pihak untuk mereka mengkajinya. Jadi, tidak timbul masalah sangsi kerana kita sentiasa terbuka.

“Bagi pihak universiti, kita menganggap perkara penyebaran ajaran syiah ini sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak sedangkan ulama dan pakar akademik berlapang dada untuk membina generasi berakal fikiran waras bagi wujudkan masyarakat harmoni.

“Jadi, tidak timbul isu mengatakan universiti membawa fahaman syiah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pelajar MEDIU, Syazwan Zainal Ariffin berkata, pelajar di MEDIU sering menghadiri program anjuran MEDIU yang dibawakan oleh pensyarah atau panel berkualiti.

“Sejak berlaku pergolakan Timur Tengah ajaran seperti ini bertebaran. Isu-ini timbul bukan di kalangan pelajar kerana mereka di sini tidak faham apa yang berlaku. MEDIU sentiasa menjemput pensyarah atau panel berilmu tinggi serta berkualiti menghadiri nadwah.

“Bagi kami sebagai pelajar, mereka mempercayai isu ini lebih cenderung dengan media sosial tanpa merujuk kepada kebenaran. Pelajar di sini diajar menerusi kajian spesifik ditulis pensyarah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.