Categories
NASIONAL

Suhu Panas: Kementerian Pendidikan dicadang tutup sekolah

KUALA LUMPUR 19 MAC : Kementerian Pendidikan dicadang menutup sesi persekolahan di Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis esok berikutan suhu melebihi 37 darjah celsius yang dicatatkan di kedua-dua lokasi itu sejak 1 Mac.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Alor Setar mencatat bacaan suhu paling tinggi di negara ini semalam iaitu 39.1 darjah celcius, bacaan tertinggi dalam tempoh 12 hari berturut-turut.

Suhu-panas-eksterm-416x250Di Chuping pula, bacaan yang dicatat semalam adalah 38.9 darjah celsius, selain mencatat suhu tertinggi 39 darjah celcius pada Isnin lepas, katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini, lapor BERNAMA.

“Berdasarkan Garis Panduan Pelan Tindakan Menangani Gelombang Haba maka sesi persekolahan di Alor Setar dan Chuping boleh dicadangkan agar ditutup bermula pada Ahad, 20 Mac,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan sama ada sesi persekolahan akan ditutup atau tidak, akan diumumkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sepertimana diarahkan oleh kabinet.

Sementara itu, Madius berkata, Keningau di Sabah dan Batu Embun serta Temerloh di Pahang mencatat bacaan suhu melebihi 35 darjah celsius bagi tempoh lebih 10 hari berturut-turut.

Katanya, keadaan ini disebabkan fenomena El Nino yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun ini.

Beliau berkata cuaca panas dan kering yang kini berlaku di Perlis dan Kedah akan turut dirasai di seluruh Semenanjung sehingga penghujung Mac ini.

Katanya keadaan sama dijangka berlaku di Sabah dan bahagian Limbang serta Miri di Sarawak.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.