Categories
SELANGOR

Tidak beban, mudah dan cepat, tarik rakyat pilih HIJRAH

OLEH: LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 25 MAC: Proses permohonan Program HIJRAH yang mudah, cepat dan tidak membebankan menjadikan skim pinjaman Kerajaan Negeri itu pilihan utama rakyat Selangor.

Peniaga makanan, Salimun Sapar, 53, daripada Sungai Besar berkata beliau sudah memperoleh pinjaman RM15,000 dalam tempoh setahun bagi mengembangkan perniagaannya.

HIJRAH SG BESAR“Prosesnya memang sangat mudah, membuatkan saya tidak perlu berfikir panjang dengan syarat diberikan.

“Asalkan saya menjaga jadual bayaran balik pinjaman pertama dengan baik, proses kedua tiada masalah untuk diluluskan segera,” katanya yang bercadang menambah kiosk apam baliknya.

Beliau ditemui selepas menerima baucar HIJRAH kali kedua di Dewan Comel, Kampung Pekan Selasa di sini, hari ini.

Bagi ibu tunggal, Norzarina Samsudin, 43, HIJRAH memberi peluang kepada dirinya menambah sumber pendapatan baru dalam menghadapi kos sara hidup tinggi.

Norzarina Samsudin“Sebelum ini, saya cuma berniaga biskut coklat selama lebih 10 tahun. Dengan HIJRAH, saya bercadang untuk berniaga minuman dan buah-buahan pula.

“Paling penting, HIJRAH tidak memberi tekanan kepada saya kerana ia tanpa faedah dan bukan seperti pinjaman along yang mudah dapat pinjaman tetapi azab menanti,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Turut bersetuju, penjaja makanan, Rosmahwati Puniran, 51, memuji program HIJRAH yang mengenepikan faktor usia pemohon sepertinya dalam meluluskan pinjaman.

“Ini kali kedua saya menerima baucar dengan jumlah RM8,000, kali pertama saya terima RM3,000.

“Dengan tambahan ini dapatlah saya besarkan sedikit lagi perniagaan saya, seterusnya dapatlah tambah pendapatan untuk keluarga,” katanya yang berniaga di Jalan Malinjar, Sungai Besar.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.