Categories
NASIONAL

Tolak usul undi tidak percaya Peguam Negara mengecewakan – Wan Azizah

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengemukakan surat rayuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung penolakan usul tidak percaya semalam.

Berdasarkan penelitiannya, usul tidak ada kepercayaan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ditolak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sebab mempertikaikan kuasa Peguam Negara.

Katanya, Dewan Rakyat juga tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kedudukan jawatan Peguam Negara.

Meeting Wan Azizah isu banjir di Kajang (7)“Saya mendapati alasan yang diberikan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak tepat dan merupakan salah tafsiran usul.

“Usul saya memang mengkritik keputusan Peguam Negara membubarkan Pasukan Petugas Khas Peringkat Tertinggi 1MDB, menutup siasatan Bank Negara dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia (SPRM) menutup siasatan terhadap derma RM2.6 bilion sebagai keputusan tidak munasabah serta tidak bertanggungjawab.

“Dewan Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Beliau berkata, budi bicara Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan prosiding di mahkamah yang diberikan di bawah Perkara 145 Perlembagaan bukan satu budi bicara muktamad dan prinsip itu ditetapkan di keputusan mahkamah.

Wan Azizah turut melahirkan kekecewaan terhadap Tan Sri Pandikar kerana beliau seharusnya membenarkan usul membabitkan dana awam, reputasi Perdana Menteri dan imej negara.

“Ia seharusnya dibincangkan dalam Dewan Rakyat atas prinspi demokrasi berparlimen.

“Keputusan ini akan melemahkan lagi fungsi Parlimen sebagai institusi bebas dan berkecuali daripada pihak eksekutif yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.