Categories
SELANGOR

113 kakitangan MBSA terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 APR: Seramai 113 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dari pelbagai gred dan jawatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015, di Dewan Auditorium MBSA, hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad melahirkan rasa bangga dan tahniah kepada kakitangan yang menerima APC dan berharap anugerah itu sebagai pemangkin dalam usaha meneruskan perkhidmatan cemerlang.

MBSA“Mengambil kira perubahan persekitaran kerja yang kompleks dalam mengharungi cabaran, sudah tentu kita memerlukan warga kerja komited dalam menjalankan tugas serta mempunyai integriti kukuh.

“Majlis APC ini untuk mengiktiraf warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam memastikan sistem perkhidmatan MBSA khususnya sentiasa mencapai standard dan kualiti ditetapkan,” katanya sewaktu Majlis APC 2015, di Auditorium MBSA, di sini hari ini.

Selain itu, dalam pembentukan warga kerja kualiti, mereka perlu lebih cekap, berkesan, berani serta peka kepada perubahan semasa untuk menghadapi persaingan dalam dan luar organisasi.

“Prestasi dinilai dari segi kebertanggungjawaban, nilai integriti, kepatuhan, prestasi memberangsangkan serta kemampuan dalam menjalankan tugas,” katanya.

Penerima anugerah menerima hadiah prestasi berjumlah RM1,000, sijil perkhidmatan cemerlang, sijil simpanan premium BSN bernilai RM400 dan diberi peluang dan keutamaan dalam memajukan kerjaya.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Datuk Mazalan Md Noor, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Norazlan Mohd Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegah Rasuah SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Shukri Mohamad Hamin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.