Categories
NASIONAL

1MDB: Laporan Ketua Audit Negara masih OSA mengecewakan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Ketiadaan Laporan Ketua Audit Negara dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap Kawalan Pengurusan Tadbir Urus Syarikat 1MDB nyata mengecewakan.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata laporan tidak lengkap menyukarkan Ahli Parlimen untuk membahaskannya, tambahan ia tidak dimasukan dalam aturan mesyuarat pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lebih mengecewakan katanya, terdapat dokumen yang masih diletakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Azmin Ali“Satu laporan tidak lengkap kerana Laporan Ketua Audit Negara tidak dimuatkan dan masih lagi dikategorikan sebagai OSA dan bagaimana kita hendak membahaskan penemuan PAC kalau laporan tidak lengkap.

“Kita rasa kecewa kerana perkara ini tidak dibentangkan hari ini yang juga hari terakhir (persidangan).

“Kalau Kita tengok oder paper (kertas aturan mesyuarat) tiada ruang kita membahaskan (penemuan) PAC,” katanya di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan hasil Laporan PAC terhadap 1MDB yang dikeluarkan hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, tindakan itu tidak demokratik di saat Parlimen ingin melakukan reformasi.

“Ini satu perkara tidak demokratik dan bagaimana hendak melakukan reformasi Parlimen kalau prosedur asas tidak dihormati dan Ahli Parlimen tiada ruang untuk membahaskan laporan PAC,” katanya.

Terdahulu, laporan PAC merumuskan struktur pembiayaan modal serta prestasi kewangan 1MDB kurang memuaskan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.