Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM: Tarik balik klasifikasi rahsia laporan 1MDB

OLEH : Mohamad Raimi Ab Rahim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Dewan Rakyat menarik balik klasifikasi rahsia yang dikenakan ke atas laporan 1MDB disediakan oleh Ketua Audit Negara.

Gesaan ini dibuat sebagai susulan daripada laporan yang diketengahkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung dengan kelemahan pentadbiran serta pengurusan 1 MDB sepertimana dibentangkan ke Dewan Rakyat pada 7 April 2016 yang lalu.

1MDBPembentangan laporan PAC (yang turut disiarkan kepada masyarakat awam) itu menimbulkan pelbagai persoalan daripada rakyat Malaysia yang prihatin.

Terbaru, gesaan agar laporan Ketua Audit Negara dijadikan sebagai dokumen awam juga telah dibuat oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sekiranya dokumen laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam, ia membolehkan ahli parlimen (di Dewan Rakyat), badan-badan kerajaan yang berkenaan, di samping rakyat menjadikannya sebagai sumber rujukan serta perbandingan bagi mengesahkan dengan laporan PAC.

Memandangkan implikasi kewangan yang sangat mendalam akibat daripada polemik 1MDB tersebut, ABIM menggesa agar badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penyiasatan diberikan ruang sepenuhnya untuk menyiasat dengan lebih lanjut Lembaga Pengarah dan Lembaga Penasihat 1MDB.

Dan lebih penting, siasatan tersebut mesti disusuli dengan tindakan perundangan terhadap kesemua mereka yang terbabit di mahkamah terbuka.

Rakyat perlu diingatkan bahawa PAC sebagai sebuah jawatankuasa Dewan Rakyat hanyakah bersifat inkuiri dan tidak sama sekali mempunyai kuasa untuk mendakwa atau mengesahkan sebarang salah laku.

Hanya siasatan agensi penyiasatan secara telus dan pendakwaan di mahkamah terbuka yang akan memastikan penyelesaian kes ini diselesaikan secara tuntas.

Siasatan bebas ini sangat penting memandangkan polemik 1MDB ini telah menjadi topik perbincangan utama di kalangan masyarakat antarabangsa yang dilihat menjatuhkan maruah negara.

Sekiranya komitmen siasatan serta tindakan perundangan bebas ini dapat dipenuhi, barulah bibit keyakinan terhadap integriti sistem urus tadbir, perundangan, dan pengurusan ekonomi negara yang kini semakin tenat dapat diselamatkan.

* Mohamad Raimi Ab Rahim, adalah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.