Categories
SELANGOR

4,013 kes denggi, MBSA keluar 212 kompaun

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 APR : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan kompaun sebanyak 212 bagi tempoh sehingga 16 April lalu atas pelbagai kesalahan pembiakan jentik-jentik dan habitat Aedes.

Dalam tempoh sama, sebanyak 4,013 kes demam denggi dicatatkan di seluruh Shah Alam khususnya di perumahan kos rendah dan kawasan perindustrian.

AEDES 1Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA,  Shahrin Ahmad, berkata MBSA menggalakkan masyarakat supaya lebih peka memastikan persekitaran kediaman berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik.

“Orang ramai diharap boleh terlibat secara tidak langsung dengan menbambil masa selama 10 minit setiap minggu untuk memastikan kawasan kediaman dan premis berada dalam keadaan bersih serta kemas.

“MBSA juga memohon kerjasama orang ramai supaya mengambil masa hanya 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan luar dan dalam premis masing-masing bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik dan Aedes,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu beliau berkata, MBSA kini menubuhkan Bilik Gerakan Denggi bagi memantau dan menerima sebarang bentuk aduan daripada masyarakat terhadap kes-kes denggi.

Penubuhannya bagi memantau sebarang gerak kerja dan memudahkan masyarakat membuat laporan di talian 03-55222793.

“MBSA terus proaktif untuk menangani masalah demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis dan pada masa sama menyeru agar warga Shah Alam dapat memastikan kedaiam mereka sentiasa bersih.

“Pihak Majlis akan bertindak tegas dan mengeluarkan kompaun terhadap premis didapati bersalah atas kesalahan membiak jentik-jentik Aedes di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.