Categories
KENYATAAN MEDIA

Adenan rosakkan semangat kasih sayang rakyat Malaysia

Oleh: SHAMSUL ISKANDAR

Tindakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Adenan Satem mempertimbangkan kebenaran kemasukan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah ke Sarawak berniat untuk menunjukkan seolah-olah beliau berkuasa sepenuhnya ke atas bumi Sarawak, namun hakikatnya beliau tidak berkuasa untuk menghalang dasar Kerajaan Persekutuan yang merugikan Sarawak.

Adenan berkata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Azizah dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah perlu menulis surat terlebih dahulu jika beliau berniat untuk datang ke Sarawak atas dasar-dasar politik. Apakah dengan kenyataan Adenan bermaksudkan bahawa Wan Azizah tidak akan dibenarkan masuk esok?

Saya membidas Adenan yang tidak menghormati Dato’ Seri Azmin Ali sebagai Ketua Negeri dan juga Timbalan Presiden PKR kerana diminta pulang pada 2 Mei. Saya sebagai Ahli Parlimen Bukit Katil turut dihalang beberapa hari sebelum penamaan calon.

Kita ingin membina Malaysia yang harmoni dan saling hormat menghormati. Kita semua adalah bersaudara sebagai rakyat Malaysia. Adenan telah menyalahgunakan kuasa beliau merosakkan semangat kasih sayang rakyat Malaysia.

Adenan memainkan sentimen “Sarawak VS Semenanjung” untuk mempopularkan dirinya dan menunjukkan seolah-oleh beliau berkuasa, akan tetapi kuasa ini sebenarnya terhad kerana beliau perlu menerima dasar Kerajaan Persekutuan meskipun merugikan Sarawak.

Antara dasar yang merugikan Sarawak adalah Akta Cukai dan Barangan (GST) yang disokong oleh ahli parlimen Barisan Nasional Sarawak sendiri dalam Dewan Rakyat pada tahun 2014, Dasar Kabotaj yang menyebabkan kos berganda tetapi menguntungkan kroni Umno, dan peruntukan pembangunan yang tidak mencukupi untuk kemudahan pendidikan dan kesihatan di kawasan pedalaman.

Dakwaan Adenan bahawa beliau memerlukan mandat yang lebih besar agar dapat berunding dengan Kerajaan Persekutuan adalah pembohongan kerana Barisan Nasional Sarawak masih merupakan ahli keluarga Barisan Nasional. Untuk memastikan Adenan dapat berunding dengan Kerajaan Persekutuan, rakyat Sarawak memerlukan suara pembangkang yang lebih kuat dalam Dewan Negeri Sarawak untuk tujuan “check and balance”.

# Shamsul Iskandar adalah Naib Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.