Categories
SELANGOR

Anak pernah saran segerakan wawancara Said sebelum terlambat

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 APR: Menyedari keadaan bapanya semakin uzur, Norman Said menyarankan supaya SelangorKini tidak melengah-lengahkan pertemuan dengan bapanya untuk diwawancara.

Saranan itu dibuat kepada wartawan SelangorKini apabila SelangorKini menyatakan hasrat untuk mengadakan wawancara khas dengan bekas Pengarang Utusan Melayu dan bekas tahanan ISA selama 17 tahun, Said Zahari sempena ulang tahun kemerdekaan ke-58 tahun lalu.

Said Zahari“Lagi cepat lagi bagus sebab dia tak berapa sihat sekarang,” kata Norman ketika SelangorKini menyatakan hasrat untuk menemubual Said pada September lalu.

Jelasnya, bapanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Said ketika itu sudah tidak boleh menulis lagi kerana berada dalam keadaan separuh lumpuh.

Selepas pertemuan diaturkan, akhirnya SelangorKini mengadakan wawancara ekslusif bersama Said beberapa hari sebelum menjelang 31 Ogos tahun lalu.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam itu, SelangorKini mendapati Said bukan sahaja masih mampu mengingati beberapa perkara penting sepanjang pembabitan beliau dalam dunia kewartawanan, malah turut mengambil tahu isu-isu semasa yang sedang berlaku.

Anaknya, Rismawati Said memberitahu, walaupun Said tidak lagi mampu menulis tetapi beliau banyak menghabiskan masa membaca buku dan surat khabar untuk mengikuti perkembangan semasa.

Wawancara dipercayai yang terakhir itu kemudiannya diterbitkan di akhbar SelangorKini dan portal SelangorKini dengan tajuk ‘Wawancara: 17 tahun ditahan ISA, suatu perjalanan panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.